Selepas diperkenal di peringkat antarabangsa beberapa minggu lalu, kini Infinix Malaysia rasmi melancarkan Infinix Note 60 Pro di Malaysia. Ia merupakan telefon pertama Infinix yang dikuasakan cip Snapdragon, dan menariknya hadir dengan paparan mini LED di bahagian belakang yang mampu memaparkan notifikasi serta animasi interaktif
Untuk pasaran Malaysia, hanya varian Pro ditawarkan buat masa ini, tanpa kehadiran model standard Note 60 seperti yang diumumkan di peringkat antarabangsa.
Harga dan ketersediaan Infinix Note 60 Pro

Harga jualan Infinix Note 60 adalah seperti berikut:
- Infinix Note 60 8GB+256GB – RM1,199
- Infinix Note 60 12GB+256GB – RM1,399
Pengguna di Malaysia boleh dapatkannya bermula hari ini, dan sebagai promosi, Infinix turut menawarkan hadiah percuma XWatch H5 Pro bernilai RM199 secara percuma, sementara stok masih ada. Waranti dua tahun turut disediakan untuk peranti.
Untuk membuat pembelian, anda boleh singgah ke stor rasmi Infinxi di Lazada, Shopee dan TikTok.
Infinix Note 60 Pro boleh didapatkan dalam empat pilihan warna, iaitu oren, biru, hitam dan coklat.
Spesifikasi Infinix Note 60 Pro

Infinix Note 60 Pro diperkenalkan sebagai model paling berkuasa dalam siri Note setakat ini. Ia hadir dengan rangka aluminium aloi, serta menggunakan skrin 6.78″ jenis AMOLED beresolusi 1.5K yang menyokong kadar segar semula 144Hz dan kecerahan puncak sehingga 4,500 nits. Skrin tersebut dilindungi oleh kaca Corning Gorilla Glass 7i, manakala sistem audionya menggunakan speaker stereo yang ditala oleh JBL

Dari segi prestasi, Note 60 Pro menjadi model pertama Infinix menggunakan cip Snapdragon, iaitu Snapdragon 7s Gen 4. Menurut Infinix, cip ini menawarkan peningkatan prestasi CPU sehingga 75% dan GPU sehingga 210% berbanding Note 50 Pro, bersama peningkatan sekitar 25% untuk multitugas. Telefon ini ditawarkan dengan RAM sehingga 12GB dan storan dalaman sehingga 256GB.
Untuk gaming, Infinix juga katakan peranti mampu menjalankan permainan seperti Mobile Legends dan Honor of Kings sehingga 120FPS. Bagi memastikan prestasi kekal stabil, telefon ini turut dilengkapi sistem penyejukan 3D IceCore Vapor Chamber dengan plat tembaga 0.36mm yang membantu menurunkan suhu sehingga 3°C ketika penggunaan berat.

Satu ciri paling unik pada Note 60 Pro ialah Active Matrix Display di bahagian belakang, seakan Glyph Matrix yang terdapat di Nothing Phone 3. Ia merupakan paparan LED mini interaktif yang hanya menyala apabila diaktifkan. Ia boleh memaparkan notifikasi, animasi haiwan, permainan mini, serta corak dan emoji.
Untuk fotografi, Note 60 Pro dilengkapi kamera utama 50MP dengan OIS, dan kamera ultralebar 8MP. Ia menyokong zum lossless 2x serta rakaman video sehingga 4K. Terdapat juga fungsi Live Photo dan AI Studio untuk penyuntingan dalam peranti. Bateri yang dimuatkan berkapasiti 6,500mAh, lebih besar berbanding model sebelumnya. Ia menyokong pengecasan pantas 90W berwayar dan 30W tanpa wayar.



Selain itu, telefon ini turut menerima penarafan IP64 untuk ketahanan terhadap habuk dan percikan air. Ia juga dilengkapi butang khas One-Tap Button yang boleh ditetapkan fungsi tertentu, serta sensor terbina untuk pemantauan kesihatan seperti kadar denyutan jantung dan tahap oksigen dalam darah yang kini terletak di sisi kanan telefon. Infinix menjanjikan Note 60 Pro dengan kemas kini OS 3 kali dan 5 tahun tampalan keselamatan.
Infinix Note Ultra akan tiba

Dalam masa sama, Infinix turut mengesahkan bahawa varian Note 60 Ultra juga akan membuat kemunculannya tidak lama lagi, dan ia bakal hadir dengan sentuhan reka bentuk daripada Pininfarina. Maklumat lebih lanjut akan diumumkan Infinix pada tarikh akan datang.






