iQoo kini memperkenalkan iQoo 15R untuk pasaran Malaysia. Walaupun model ini berada di bawah iQoo 15 yang diumumkan bulan Disember tahun lalu, ia masih menawarkan beberapa ciri bertaraf flagship seperti cip Snapdragon 8 Gen 5 dan bateri besar 7,600mAh.
Menurut iQoo, telefon ini direka dengan fokus kepada “The Performance Trio”, iaitu operasi lancar, hayat bateri tahan lama, dan kestabilan suhu menjadikannya sesuai untuk gaming, produktiviti dan penggunaan harian.
Dalam masa sama, iQoo turut memaklumkan bahawa iQoo 15R dipilih telefon rasmi untuk kejohanan Malaysian Kings League (MKL) 2026 bagi permainan Honor of Kings.
Harga dan ketersediaan

iQoo 15R ditawarkan dalam dua varian pada harga seperti berikut:
- 12GB + 256GB – RM2,499 (ekslusif online)
- 12GB + 512GB – RM2,699
Untuk pembelian dari 2 Mac hingga 8 Mac, pelanggan juga akan terima hadiah percuma bernilai sehingga RM458. Antara yang disertakan ialah fon putik iQoo Buds, lanjutan waranti 1+1 tahun dan perlindungan keretakan skrin 180 hari.
Telefon ini hadir dalam dua warna, iaitu Pixel Silver dan Dark Knight, Ia boleh dibeli melalui iQOO Official TikTok, Shopee, Lazada dan vivo Concept Store.
Spesifikasi iQoo 15R

iQoo 15R dikuasakan cip Snapdragon 8 Gen 5, dipadankan dengan RAM 12GB dan storan sehingga 512GB. Ia turut dilengkapi cip tambahan Supercomputing Chip Q2 serta sistem optimasi Monster HyperCore, yang membantu memastikan prestasi kekal stabil ketika bermain game atau menjalankan banyak aplikasi serentak.

Untuk gaming, ia juga menyokong paparan 1.5K Super Resolution dan kadar bingkai sehingga 144FPS melalui teknologi interpolasi. Hasilnya, pergerakan dalam permainan nampak lebih smooth dan responsif. Turut disertakan adalah sstem Penyejukan 6.5K IceCore VC yang dipasangkan dengan kepingan grafit dua lapisan untuk penyebaran haba yang cekap.

Di bahagian depan, iQoo 15R dilengkapi skrin AMOLED berukuran 6.59″ beresolusi 1.5K dengan kadar segar semula 144Hz. Panel ini turut menyokong kecerahan puncak 5,000 nits. Menurut iQoo, reka bentuknya yang kompak menawarkan genggaman sehingga 17% lebih selesa berbanding telefon skrin besar biasa.

Seperkara menarik tentang iQoo 15R ialah, ia hadir dengan bateri besar 7,600mAh menggunakan teknologi Silicon Anode berketumpatan tinggi, membolehkan kapasiti besar dimuatkan dalam badan nipis. Untuk mengecas, ia menyokong pengecasan pantas 100W bersama Advanced Bypass charging untuk gaming, yang dikatakan dapat bantu mengurangkan haba, mengekalkan prestasi stabil dan menyokong kesihatan bateri untuk jangka masa panjang.

Dari segi fotografi, iQoo 15R hadir dengan kamera utama 50MP Sony LYT-700V dengan OIS serta sokongan 2x lossless zoom dan kamera ultralebar 8MP. Untuk swafoto, ia menggunakan kamera hadapan 32MP yang ditempatkan dalam lubang kecil pada skrin.
Telefon ini menjalankan OriginOS 6, dan iQoo menjanjikan prestasi lancar sehingga lima tahun melalui Origin Smooth Engine. Beberapa ciri AI seperti AI Creation dan AI Captions turut disertakan untuk kegunaan harian.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk iQoo 15R.






