Honor Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi siri Honor 600 untuk pasaran tempatan. Ini menjadikan Malaysia sebagai pasaran global pertama yang menerima telefon pintar ini, yang hadir dalam dua model iaitu Honor 600 dan Honor 600 Pro.
Harga dan ketersediaan siri Honor 600 di Malaysia

Harga jualan rasmi bagi kedua-dua Honor 600 dan Honor 600 Pro di Malaysia adalah seperti berikut:
Honor 600 Pro
- 12GB + 256GB — RM3,099
- 12GB + 512GB — RM3,299
Honor 600
- 12GB + 512GB – RM2,599
Kepada mereka yang berminat, Honor sudah pun buka tempahan awal dari sekarang sehingga 29 April untuk kedua-dua Honor 600 dan Honor 600 Pro. Dalam tempoh tersebut, pembeli model Pro akan disertakan dengan hadiah percuma bernilai sehingga RM1,935 termasuk Fujifilm Instax Mini LiPlay+, rebat RM200, perlindungan skrin 365 hari, waranti lanjutan 1 tahun dan perlindungan kerosakan akibat air.

Manakala, pembeli Honor 600pula akan mendapat hadiah bernmilai sehingga RM1,496 termasuk jam pintar Honor Choice Watch Epic 2, rebat RM200 berserta perlindungan yang sama seperti model Pro.
Untuk membuat pembelian, anda boleh singgah ke stor online Honor, serta Lazada, Shopee dan TikTok. Ia juga boleh didapatkan menerusi pengedar sah seperti Harvey Norman, Senheng, SenQ dan Urban Republic. Jualan terbuka akan bermula pada 30 April di Honor Experience Store untuk kedua-dua model.
Spesifikasi siri Honor 600

Honor 600 dan Honor 600 Pro berkongsi perkakasan luaran hampir sama. Kedua-duanya hadir dengan skrin AMOLED 6.57″ beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz, dan kecerahan puncak mencapai 8,000 nits. Panel ini juga dilengkapi teknologi Eye Comfort Display dan PWM Dimming 3,840Hz untuk mengurangkan kelesuan mata semasa penggunaan berpanjangan.

Dari segi ketahanan, ini pertama kalinya siri bernombor Honor menerima penarafan IP69K, bermakna ia tahan terhadap air dan habuk pada tahap tertinggi. Ia turut menerima pensijilan SGS 5 bintang untuk ketahanan terhadap jatuh dan hentakan.

Perbezaan utama antara kedua-dua model terletak pada cip yang digunakan. Honor 600 Pro dikuasakan cip flagship dua tahun lalu Snapdragon 8 Elite, manakala model Honor 600 menggunakan cip berkelas pertengahan Snapdragon 7 Gen 4. Kedua-duanya dilengkapi dengan RAM 12GB dan storan seluas 512GB.

Untuk sistem kamera, kedua-dua model hadir dengan kamera utama 200MP menggunakan sensor 1/1.4″, dikatakan antara yang terbesar dalam segmen ini, di sampiung kamera ultralebar 12MP dan kamera selfie 50MP. Kelainan pada model Pro ialah tambahan kamera telefoto 50MP dengan zum optik 3.5x, sokongan zum digital hingga 120x, dan penstabilan imej CIPA 6.5. Model Honor 600 pula menyokong zum digital hingga 30x tanpa telefoto.


Kedua-dua model turut dilengkapi Night Engine baharu untuk fotografi dalam cahaya malap yang lebih baik. Selain itu, terdapat juga AI Image to Video 2.0 baharu yang dipertingkat dengan keupayaan menggabungkan sehingga tiga gambar untuk menjadikannya video pendek 3 hingga 5 saat, dengan sokongan arahan teks dan pelbagai templat sedia ada.

Lagi yang dikongsi, siri ini turut dimuatkan dengan kapasiti bateri yang sama, 7,000mAh jenis silikon karbon, Bagi pengecasan pula, model Pro menyokong pengecasan 80W berwayar dan 50W tanpa wayar, manakala Honor 600 hanya menyokong pengecasan berwayar 80W. Kedua-duanya turut menyokong pengecasan terbalik 27W,

Dari segi kesambungan, kedua-duanya turut menyokong WiFi 7, Bluetooth 6.0 dan NFC. Ia menjalankan MagicOS 10 berasaskan Android 16 sejurus keluar kotak, dan ditawarkan dalam tiga pilihan warna, Oren, Hitam dan Putih Keemasan.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Honor 600 dan Honor 600 Pro.






