Infinix Malaysia memaklumkan mereka akan melancarkan telefon gaming terbaharu dalam siri GT mereka, GT 50 Pro pada 5 Mei 2026. Ia merupakan sekuel kepada GT 30 Pro yang dilancarkan tahun lalu, dan kali ini Infinix membawakan sistem penyejukan lebih canggih untuk telefon mereka.
Sebagai rujukan, GT 50 Pro telah pun dilancarkan di Indonesia baru-baru ini. Berdasarkan kenyataan Infinix, nampaknya hanya model Pro sahaja yang akan dilancarkan kali ini, tiada model standard seperti generasi sebelumnya.
Sistem Penyejukan: HydroFlow Liquid Cooling

Ciri utama yang diketengahkan pada GT 50 Pro ialah sistem penyejukan cecair baharu yang digelar HydroFlow Liquid Cooling Architecture. Infinix mendakwa ia menggunakan sistem mikro-pam cecair terbesar dalam industri dengan liputan penuh ke atas cip, iaitu sumber haba utama pada telefon. Dengan sistem ini, haba dapat dilesapkan dengan lebih cekap sekali gus memastikan prestasi kekal stabil walaupun untuk sesi gaming yang panjang.
Ini menjadikannya salah satu telefon gaming dengan penyejukan terbina selain RedMagic 11 Pro.
Seperti model GT sebelum ini, GT 50 Pro turut hadir dengan paparan 144Hz dan menyokong kadar bingkai 144FPS dalam beberapa game popular termasuk Mobile Legends: Bang Bang, Free Fire, Call of Duty: Mobile, Bloodstrike, Standoff 2, dan Arena Breakout.
GT 50 Pro turut menampilkan sistem trigger baharu yang digelar Open-Cut Pressure-Sense GT Trigger yang Infinix dakwa pertama dalam industri. Reka bentuknya terinspirasi dari hypercar, dan trigger mekanikal dwi-tekanan ini direka untuk memberikan kawalan setara konsol pada telefon pintar. Trigger ini menyokong tiga jenis input iaitu tekan ringan, tekan kuat dan gelongsor, dengan kependaman sepantas 20 milisaat untuk responsiviti yang konsisten. Pemetaan kawalan juga boleh diubah suai mengikut citarasa pengguna.

Selain untuk gaming, trigger ini turut berfungsi sebagai pintasan untuk kegunaan harian seperti tangkapan skrin, rakaman skrin, pembersihan memori, dan pengaktifan Off-screen Gaming Mode. Dengan isyarat gelongsor ke dalam, pengguna juga boleh memanggil pembantu AI Folax, atau menggunakannya sebagai pintasan untuk melancarkan app, kawalan media, dan operasi kamera.
Spesifikasi Infinix GT 50 Pro

Berdasarkan pelancaran di Indonesia baru-baru ini, kita boleh jangkakan GT 50 Pro hadir dengan spesifikasi berikut:
- Cip: MediaTek Dimensity 8400 Ultimate
- RAM: 12GB
- Storan: hingga 512GB
- Skrin: AMOLED 6.78 inci resolusi 1.5K, 144Hz
- Kamera: Utama 50MP + Ultralebar 8MP + Selfie 13MP
- Bateri: 6,500mAh dengan pengecasan 45W berwayar dan 30W tanpa wayar
Harga GT 50 Pro di Malaysia belum didedahkan buat masa ini. Sebagai rujukan, GT 30 Pro dilancarkan pada harga RM1,299 untuk varian 12GB + 256GB dan RM1,499 untuk varian 12GB + 512GB. Nantikan pelancaran rasmi pada 5 Mei ini untuk maklumat lanjut.






