Kalau anda kerap ke Genting Highlands, ada perubahan penting yang perlu anda tahu. Bermula Khamis, 28 Mei 2026, pengguna akan mula dikenakan caj untuk menggunakan laluan ke sana.
Menurut Lingkaran Cekap Sdn Bhd (LCSB), selaku pengendali Jalan Genting Highlands, kutipan caj akan dilaksanakan di dua pintu masuk utama iaitu di Genting Sempah dan bulatan Gohtong Jaya.
Kadar bayaran yang dikenakan adalah berbeza mengikut jenis kenderaan. Berikut adalah perinciannya:
- Kelas 1 Kereta/van: RM5
- Kelas 2 Lori sederhana: RM15
- Kelas 3 Lori Berat: RM25
- Kelas 4 Teksi: RM3.30
- Kelas 5 Bas: RM5
LCSB juga menyatakan bahawa ke kenderaan Kelas 2, 3, 4, dan 5 diwajibkan menggunakan Lorong Khas atau sistem Pengecaman Plat Lesen (LPR) semasa melalui tol.
Namun, tidak semua kenderaan dikenakan caj ini. Motosikal dan kenderaan kecemasan dikecualikan daripada bayaran. Begitu juga dengan kenderaan persendirian milik kakitangan awam yang bertugas di institusi kerajaan di Genting Highlands, termasuk:
- SK Sri Layang & SMK Sri Layang
- Institut Aminuddin Baki
- Balai Polis Genting Highlands & Balai Polis Gohtong Jaya
- Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands
- Klinik Desa Sri Layang
- Pejabat Daerah Kecil Genting Highlands
- Pejabat Daerah dan Tanah Bentong
- Pejabat Cawangan Majlis Perbandaran Bentong (Cawangan Genting Highlands)
- Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pahang (Cawangan Genting Highlands)
Diskaun untuk penduduk tetap
Bagi mereka yang menetap di Genting Highlands, ada keistimewaan yang boleh dimanfaatkan. Penduduk tetap yang layak boleh mendaftarkan sehingga dua kenderaan Kelas 1 untuk menikmati kadar 10% lebih rendah berbanding harga biasa.

Atau, jika anda selalu naik turun, pilihan yang lebih jimat adalah pas musim selama 6 bulan yang membolehkan kemasukan tanpa had melalui LPR atau Lorong Khas.
Untuk memohon, penduduk tetap boleh menghantar permohonan secara dalam talian dengan melampirkan dokumen sokongan seperti sijil pemilikan kenderaan, perjanjian Jual Beli (SPA), bil Cukai Tanah atau Bil Penilaian dan bil elektrik.
Satu lagi perkara yang perlu diketahui kenderaan yang berjaya didaftarkan di bawah skim penduduk ini tidak akan dikenakan sebarang bayaran sehingga 28 Jun 2026.
Kenapa bayaran ini diperkenalkan?
Bayaran ini sebenarnya bukan perkara baharu sepenuhnya. Fasa percubaan telah bermula sejak 2 April 2026. Dalam tempoh tersebut, pengguna hanya perlu tap kad seperti Touch ‘n Go, debit atau kredit tanpa dikenakan sebarang caj.
Genting Malaysia Group (GenM) sebelum ini menjelaskan bahawa bayaran jalan raya persendirian ini diperkenalkan atas prinsip “pengguna bayar”, bagi memastikan jalan tersebut dapat diselenggarakan secara mampan dalam jangka masa panjang.
Hasil kutipan akan digunakan untuk kerja-kerja penyelenggaraan yang berterusan, termasuk penurapan semula jalan, penstabilan cerun, penambahbaikan sistem saliran, pemantauan, pembaikan kecemasan serta tindak balas terhadap kejadian luar jangka seperti tanah runtuh, runtuhan batu dan cuaca
GenM turut menjelaskan bahawa tanpa kerja-kerja penyelenggaraan yang berterusan, terutamanya memandangkan keadaan kawasan tanah tinggi yang mencabar, jalan berisiko mengalami kerosakan yang lebih cepat.
Untuk maklumat lanjut mengenai caj jalan raya ini, anda boleh layari laman web rasmi Lingkaran Cekap.






