Pasaran laptop baru-baru ini dikejutkan apabila Apple memperkenalkan MacBook Neo yang hadir dengan penawaran harga yang sangat kompetitif, sesuatu yang jarang dilakukan oleh jenama gergasi Cupertino tersebut. Kehadiran peranti ini ternyata menggegarkan industri, malah syarikat seperti Acer turut mengakui bahawa mereka terkejut apabila Apple memperkenalkan peranti tersebut.
Ini kerana, dengan MacBook Neo, Apple kini memasuki segmen harga sekitar RM2,000, yang selama ini didominasi oleh pengeluar PC Windows. Selama bertahun-tahun, Apple lebih banyak memfokuskan produk premium dengan harga yang lebih tinggi. Jadi, kemunculan MacBook Neo pada harga bajet sebegini sememangnya mengejutkan ramai pihak.
Tetapi dengan pelancaran model terbaru seperti Acer Aspire Go 15 dan Acer Swift Air 14, adakah ia sebenarnya respons Acer untuk bersaing dengan MacBook Neo? Jawapannya mudahnya adalah tidak.
Siri Aspire dan Swift bukan “MacBook Neo killer”

Dalam sesi media sempena Computex 2026, Ketua Pegawai Operasi Acer, Jerry Kao menjelaskan bahawa siri Aspire Go dan Swift Go sudah lama menjadi sebahagian daripada pelan hala tuju produk mereka. Menurut Acer, siri Swift berada dalam kelas lebih premium, manakala Aspire Go pula ditawarkan untuk pengguna yang mahukan laptop yang lebih mampu milik.
Kebetulan, apabila Apple memperkenalkan MacBook Neo pada julat harga yang hampir sama, ramai mula melihat Aspire Go sebagai alternatif Windows kepada MacBook Neo. Acer bagaimanapun menegaskan bahawa mereka tidak mereka bentuk Aspire Go khusus untuk bersaing dengan MacBook Neo. Sebaliknya, produk tersebut memang sudah wujud dalam perancangan mereka bagi memenuhi keperluan pengguna pada pelbagai peringkat harga.

Selain itu, apabila ditanya tentang langkah Acer untuk menyaingi produk kelas permulaan seperti MacBook Neo, Andrew Hou, Presiden, Operasi Pan-Asia Pasifik Acer menyatakan bahawa Acer telah pun mempunyai strategi dan hala tuju yang berbeza. Menurut beliau, Acer komited untuk menjalinkan kerjasama dengan lebih banyak pengeluar CPU bagi menawarkan kepelbagaian produk pada pelbagai julat harga untuk menghadapi persaingan tersebut.
Beliau turut menambah bahawa trend pasaran kini menyaksikan semakin banyak syarikat seperti Qualcomm, MediaTek, malah NVIDIA, mahu menghasilkan CPU mereka sendiri. Kehadiran pelbagai vendor ini memberikan Acer lebih banyak peluang untuk memperkenalkan SKU pada tahap yang berbeza, sekali gus memperkukuh keupayaan syarikat dalam mendepani persaingan sengit pasaran.
Kenapa Apple boleh tawar MacBook Neo dengan perkakasan premium berbanding laptop Windows?

Mungkin ramai pengguna Windows tertanya-tanya, mengapa pada julat harga yang sama, Apple mampu menawarkan perkakasan dengan bahan binaan premium, sedangkan kebanyakan komputer riba Windows dalam segmen harga tersebut masih terasa sedikit rapuh atau “berplastik”?
Menurut James K Lin, Pengurus Besar Perniagaan Komputer Riba, terdapat jurang perbezaan struktur yang ketara antara kedua-dua ekosistem ini. Apple merupakan sebuah syarikat yang bergerak dalam ekosistem tertutup, di mana mereka mengawal segalanya secara menyeluruh daripada rekaan perkakasan, cip pemproses tersendiri, sehinggalah kepada sistem operasi (OS). Kelebihan ini membolehkan mereka memampatkan dan mengoptimumkan segala sumber rantaian bekalan dengan sangat cekap.
Sebaliknya, Acer dan pengeluar Windows yang lain beroperasi dalam ekosistem terbuka mereka bergantung kepada pelbagai vendor cip seperti Intel, AMD dan Qualcomm, sistem operasi daripada Microsoft, serta rangkaian pembekal komponen yang pelbagai. Ini memberikan lebih banyak pilihan kepada pengguna, tapi pada masa yang sama menjadikan kawalan kualiti dan harga lebih sukar untuk dioptimumkan.
Tambahan lagi, Apple turut mendapat manfaat besar daripada volum jualan iPhone mereka. Banyak komponen yang digunakan dalam telefon pintar dan komputer riba kini semakin bertindih. Dengan skala pengeluaran iPhone yang sangat besar, Apple mempunyai kuasa rundingan yang lebih kuat terhadap pembekal komponen. Menurut Acer, inilah antara sebab Apple boleh menawarkan produk dengan bahan binaan premium dan pengalaman pengguna yang konsisten walaupun pada harga yang lebih rendah.
Nitro Blaze Link diperkenal kerana melihat potensi PC yang tidak digunakan sepenuhnya

Beralih kepada segmen konsol pegang mudah alih, Acer baru-baru ini memperkenalkan Nitro Blaze Link. Sekiranya anda tertanya kenapa mereka memilih untuk memperkenalkannya, menurut Acer, idea tersebut tercetus apabila mereka melihat ramai pengguna memiliki PC gaming yang sangat berkuasa tetapi tidak memanfaatkan sepenuhnya kuasa tersebut sepanjang masa.
Dengan teknologi penstriman yang kini semakin matang, Acer melihat peluang untuk membolehkan pengguna menggunakan kuasa PC mereka pada peranti lain tanpa perlu berada di depan PC utama. Sebagai contoh, PC boleh digunakan untuk tugasan produktiviti atau penciptaan kandungan, manakala pada masa sama kuasa pemprosesan yang tidak digunakan boleh distrim ke peranti lain untuk bermain game.

Selain itu, Acer turut berkongsikan pengalaman mereka dalam menghasilkan peranti gaming handheld. Melalui pengalaman membangunkan peranti handheld sebelum ini (seperti Nitro Blaze 7 generasi terdahulu), Acer mengakui mereka belajar banyak perkara. Produk terdahulu diakui mempunyai ruang kesilapan terutamanya dari segi gabungan spesifikasi, prestasi, dan harga yang kurang optimum untuk pengguna. Pengajaran tersebut digunakan untuk membina generasi terbaharu seperti Predator Atlas 8 yang lebih matang.
Namun, Acer tidak melihat handheld sebagai pengganti kepada PC desktop tradisional. Sebaliknya, ia dianggap sebagai peranti pelengkap untuk gamer. Walaupun handheld menawarkan kemudahan bermain di mana-mana, pengalaman gaming terbaik masih terletak pada PC desktop yang lebih berkuasa. Dalam erti kata lain, handheld mengisi jurang antara telefon pintar dan komputer riba, membolehkan pengguna menikmati permainan PC dengan lebih mudah ketika bergerak.
Harga komponen naik, tapi konflik geopolitik tidak menjejaskan Asia Tenggara

Dalam masa yang sama, Acer turut menyentuh tentang isu kenaikan harga komponen seperti memori. Pihak syarikat mengakui bahawa kos komponen telah meningkat dengan ketara sejak beberapa suku tahun kebelakangan ini, sekali gus memaksa kebanyakan jenama PC termasuk Acer untuk menaikkan harga jualan produk masing-masing.
Walau bagaimanapun, kenaikan tersebut bukanlah disebabkan oleh konflik geopolitik global seperti perang Rusia-Ukraine atau ketegangan di Timur Tengah. Menurut syarikat, konflik tersebut setakat ini tidak memberi kesan besar kepada pasaran Asia Tenggara kerana faktor geografi yang jauh, menyebabkan impaknya terhadap operasi serta harga produk di rantau ini masih lagi terhad.
Sektor tenaga, pengecas EV, dan masa depan “Syarikat Token”

Apabila ditanya mengenai pelaburan Acer dalam sektor tenaga, mereka menjelaskan bahawa buat masa ini, produk pengguna sedia ada adalah terhad kepada penawaran stesen kuasa mudah alih atau portable power station. Strategi korporat mereka dalam sektor tenaga sebenarnya lebih ke arah berasaskan projek dengan bekerjasama dengan pihak kerajaan atau syarikat tempatan untuk membina infrastruktur tenaga lestari yang lebih mampan.
Mengenai pengecas kenderaan elektrik (EV charger), Acer mengesahkan ia adalah salah satu kategori yang sentiasa berada dalam radar minat mereka. Syarikat itu berkata mereka telah mula melaburkan sumber kejuruteraan serta sedang aktif meninjau peluang perkongsian strategik dengan rakan kongsi tempatan untuk mengemudinya sebagai potensi perniagaan masa depan.
Apabila ditanya tentang kategori yang bakal memacu Acer pada masa depan, syarikat itu mengakui sukar untuk meramalkan dengan tepat memandangkan industri teknologi berubah terlalu pantas. Namun satu perkara yang mereka yakin ialah Agentic AI bakal mengubah cara manusia menggunakan teknologi. Menurut Acer, pengguna kini bukan sekadar meminta AI menjawab soalan, malah AI semakin mampu melakukan tugasan seperti membuat tempahan, mengurus jadual dan menjalankan pelbagai tugas secara automatik Perubahan ini dijangka membuka peluang baharu kepada industri perkakasan dan perisian.
Malah, pihak pengurusan Acer sempat berseloroh bahawa dalam jangka masa panjang, Acer mungkin akan berubah menjadi sebuah “syarikat menjual token”. Lagipun, salah satu anak syarikat mereka, AEB, sudah mula menjual token.
Acerpure terus berkembang, sasar Eropah selepas kejayaan di Asia

Satu lagi perniagaan yang semakin penting dalam kumpulan Acer ialah Acerpure. Jika dahulu Acerpure hanya dikenali dengan penapis udara, hari ini jenama itu sudah berkembang kepada lapan kategori produk termasuk penapis air, kipas pengedar udara, pembersih vakum, peralatan dapur, produk kecantikan dan penghawa dingin.
Pertumbuhan ini juga sebahagian daripada strategi Acer untuk mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan PC tradisional. Ketika ini, hasil daripada segmen bukan-PC (termasuk Acerpure dan Altos) kini sudah menyumbang melebihi 35% daripada keseluruhan pendapatan kumpulan Acer, dan angka tersebut dijangka terus meningkat pada masa hadapan.
Selepas berjaya memasuki pasaran Asia seperti Indonesia dan Vietnam, Acerpure kini bersedia untuk mengembangkan operasi mereka ke Eropah dan beberapa pasaran baharu lain.






