Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini melancarkan Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) baharu, yang hadir dengan pelbagai penambahbaikan, termasuk tempoh sah laku yang lebih panjang serta ciri keselamatan yang dipertingkatkan.
Pelancaran pasport baharu ini disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam satu majlis yang berlangsung di Parlimen pagi tadi.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, pasport baharu ini akan mula diperkenalkan secara berperingkat di 71 pejabat pasport di seluruh negara bermula Julai 2026. Pada asalnya, ia dijadualkan untuk diperkenalkan lebih awal pada bulan ini.

Pelaksanaan fasa pertama akan melibatkan 14 pejabat pasport peringkat negeri, termasuk pejabat yang beroperasi di Pusat Transformasi Bandar (UTC). Selepas itu, pelaksanaannya akan diteruskan dalam beberapa lagi fasa sepanjang tempoh dua bulan akan datang.
Menurut Saifuddin, permohonan untuk pasport baharu ini akan dibuka kepada rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas bermula 1 Julai. Bagi kadar bayaran, pasport dengan tempoh sah laku selama 10 tahun ditetapkan pada harga RM350. Manakala untuk pasport dengan tempoh sah laku 5 tahun, harganya kekal sama iaitu RM200.

Selain menawarkan tempoh sah laku yang lebih lama, pasport Malaysia versi baharu ini turut dilengkapi dengan 94 ciri keselamatan, berbanding hanya 49 ciri pada versi sedia ada. Antara ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan termasuk:
- Nombor siri yang ditebuk menggunakan laser
- Kertas keselamatan UV kompleks
- Corak keselamatan tersembunyi beresolusi tinggi
- Hologram dinamik sensitif sudut
- Corak guilloche
- Cip biometrik bersepadu
- Transparent window
- Teks mikro
- Halaman data polikarbonat penuh



Penambahbaikan ini bertujuan menjadikan Pasport Malaysia Baharu lebih sukar dipalsukan dan meningkatkan tahap keselamatan dokumen perjalanan negara.
Untuk rekod, pasport Malaysia kini merupakan antara pasport paling berkuasa di dunia, dengan kedudukan di tangga ketiga dalam senarai Global Passport Power Rank 2026 oleh Passport Index.






