Nothing secara rasminya telah mengumumkan Nothing Phone (4b), telefon pintar kelas permulaan terbaharu yang berada di bawah barisan siri Phone (4a).
Walaupun diposisikan sebagai model yang lebih mampu milik, Phone (4b) masih mengekalkan beberapa ciri ikonik yang terdapat pada telefon pintar Nothing. Antaranya termasuk Glyph Bar, rekaan dengan elemen lutsinar serta fungsi Essential AI.
Menariknya, Phone (4b) turut dilengkapi bateri 5,200mAh, menjadikannya telefon pintar Nothing dengan kapasiti bateri terbesar setakat ini.
Harga dan ketersediaan Nothing Phone (4b)

Di pasaran United Kingdom (UK), Nothing Phone (4b) dijual pada harga GBP299 (sekitar RM1,629) untuk varian RAM 8GB dan storan 128GB.
Sebagai perbandingan, harga ini adalah GBP80 lebih murah berbanding Nothing Phone (4a) yang bermula pada harga GBP379 (~RM2,066), di mana ia dijual pada harga RM1,999 di Malaysia.
Jualan rasmi di peringkat global akan bermula pada 17 Julai 2026. Bagaimanapun, pihak Nothing menyatakan bahawa maklumat mengenai harga dan tarikh ketersediaan untuk pasaran Malaysia hanya akan diumumkan pada tarikh kemudian. Telefon ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna iaitu Hitam, Putih, dan Biru.
Spesifikasi Nothing Phone (4b)

Nothing Phone (4b) dilengkapi dengan skrin 6.77″ Super AMOLED Full HD+ yang menyokong kadar segar semula adaptif 120Hz, HDR10+, kecerahan puncak mencapai 2,000 nits. Ia juga mempunyai kadar pensampelan sentuhan segera 1,000Hz untuk tindak balas sentuhan yang lebih pantas, terutama ketika bermain game.
Tugas memproses peranti ini digalas oleh cip Qualcomm Snapdragon 6 Gen 4, yang dipadankan bersama RAM LPDDR4X seluas 8GB dan storan dalaman UFS 2.2 berkapasiti 128GB. Terdapat juga varian storan 256GB, namun ia ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran India sahaja buat masa ini.
Peranti ini menjalankan sistem operasi Nothing OS 4.1 berasaskan Android 16. Nothing turut menjanjikan sokongan kemas kini yang agak panjang iaitu 3 tahun untuk sistem operasi Android (OS) dan 6 tahun untuk tampalan keselamatan.



Untuk fotografi, Nothing Phone (4b) dilengkapi sistem dwi-kamera belakang. Ia terdiri daripada kamera utama 50MP dengan sokongan penstabilan OIS dan EIS, serta kamera ultralebar 8MP dengan sudut pandangan 119.5 darjah. Di bahagian hadapan pula terdapat kamera selfie 16MP yang ditempatkan dalam lubang kecil pada skrin.
Telefon pintar ini menyokong rakaman video resolusi 4K pada kadar 30fps serta memperkenalkan fungsi dual video capture yang membolehkan pengguna merakam menggunakan kamera hadapan dan belakang secara serentak. Untuk pemprosesan imej, Nothing menggunakan TrueLens Engine 4 bersama teknologi fotografi pengkomputeran Ultra XDR. Beberapa penapis dan preset baharu turut disediakan untuk pengguna yang mahu menghasilkan gambar dan video dengan gaya visual berbeza.

Sama seperti model-model sebelum ini, Phone (4b) mengekalkan identiti Nothing menerusi reka bentuk Glyph Bar yang telah diperkemas. Ia terdiri daripada 45 lampu mini-LED yang boleh dikawal secara individu dengan tahap kecerahan sehingga 3,500 nits (sebagai perbandingan, Phone (4a) mempunyai 63 lampu mini-LED).
Fungsi Glyph Bar ini boleh digunakan untuk memaparkan notifikasi, status pengecasan bateri, indikator rakaman, serta amaran yang telah ditetapkan tanpa memerlukan anda menghidupkan skrin telefon.
Antara ciri-ciri lain yang turut dimuatkan termasuklah pembesar suara stereo, penarafan kalis percikan air dan debu IP64, vapour chamber seluas 4,400mm² untuk sistem penyejukan, serta integrasi asli untuk aplikasi ChatGPT, Google Gemini, dan fungsi Circle to Search. Terdapat juga butang Essential Key yang memberikan akses pantas kepada ciri Essential Space, Essential Search, Essential Voice, dan Essential Apps.

Phone (4b) dilengkapi dengan bateri berkapasiti 5,200mAh, menjadikannya bateri paling besar pernah dimuatkan dalam telefon Nothing. Namun, pengguna di India menerima versi Phone (4b) dengan kapasiti bateri yang lebih besar, iaitu 6,000mAh.
Ia menyokong pengecasan pantas berwayar 33W yang mampu mengecas bateri sehingga 50% dalam masa kurang daripada 30 minit. Nothing turut menyatakan bahawa bateri ini mampu mengekalkan sehingga 90% daripada kapasiti asal walaupun selepas 1,200 kitaran pengecasan penuh, dengan penggunaan teknologi ketahanan Safe Cell Technology.






