Selepas diperlihatkan buat pertama kali lebih setahun lalu ketika pelancaran Denza D9 di Malaysia, Denza Z9 GT kini akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan.
Ia merupakan model NEV (New Energy Vehicle) ketiga Denza di Malaysia selepas Denza D9 dan Denza B8 PHEV.
Harga dan pilihan warna Denza Z9 GT di Malaysia

Di Malaysia, Denza Z9 GT ditawarkan pada harga bermula RM358,800.
Untuk pilihan warna luaran, Denza menawarkan dua pilihan iaitu:
- Rime Gold
- Obsidian Black
Sementara itu, ruang kabin pula boleh dipilih dengan tiga kombinasi warna berikut:
- Dark Chocolate + Red Velvet (eksklusif untuk Rime Gold)
- Dark Chocolate + Perg Beige
- Full Black dengan tempat duduk suede hitam
Denza Z9 GT: EV flagship dengan kuasa 1,140hp

Denza Z9 GT merupakan model EV flagship Denza Malaysia dengan rekaan shooting brake yang sporty. Untuk pasaran Malaysia, ia ditawarkan secara eksklusif dengan platform e³ Platform yang dipadankan bersama sistem pacuan semua roda (AWD) tiga motor elektrik.
Motor hadapan menghasilkan kuasa 230kW (308hp) dengan tork 410Nm, manakala gandar belakang menggunakan dua motor yang dikawal secara berasingan, menawarkan kuasa gabungan 620kW (831hp) dan tork 800Nm.

Secara keseluruhan, sistem tiga motor ini menghasilkan kuasa maksimum 850kW (1,140hp) serta 1,210Nm tork. Dengan angka itu, Denza Z9 GT mampu memecut dari 0-100km/j dalam hanya 2.7 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum yang dihadkan secara elektronik pada 240km/j.
Untuk pasaran Malaysia, Denza Z9 GT dilengkapi Blade Battery generasi kedua berasaskan teknologi LFP daripada BYD. Bateri berkapasiti 122.49kWh ini dikatakan menawarkan ketumpatan tenaga 5% lebih tinggi berbanding Blade Battery generasi pertama, selain menyokong sistem elektrik 1,000V BYD.
Ini membolehkan Z9 GT menyokong teknologi BYD Flash Charge, yang mampu mengecas bateri daripada 10% ke 70% dalam hanya 5 minit, atau 10% ke 97% dalam masa 9 minit, sekiranya menggunakan pengecas yang serasi. BYD sebelum ini turut mengesahkan bahawa mereka merancang untuk membawa rangkaian Flash Charge ke Malaysia, bermula di bilik pameran Denza.

Dengan bateri penuh, Denza Z9 GT menawarkan jarak pemanduan sehingga 600km (berdasarkan kitaran WLTP) atau sehingga 701km di bawah standard NEDC.
Selain prestasi tinggi, Denza Z9 GT turut dilengkapi sistem stereng roda belakang aktif (active rear-wheel steering) dengan kawalan bebas. Ciri ini membolehkan roda belakang membelok sehingga 15 darjah, sekali gus mengurangkan radius putaran kepada 4.62 meter sahaja. Ini menjadikan EV sepanjang 5,180mm (dengan jarak roda 3,125mm) ini jauh lebih mudah untuk dikendalikan di ruang sempit.

Lebih menarik, ia turut disertakan dengan fungsi pemanduan unik termasuk Crab Mode (kesemua empat roda membelok ke arah yang sama untuk pergerakan secara menyerong) dan ciri “Pencil Compass Turn” (membolehkan kereta berpusing masuk ke ruang parkir yang sempit dengan memutarkan roda belakang secara bebas manakala roda hadapan dikunci).

Menurut pihak BYD Malaysia, unit yang dibawa masuk ke sini menerima tetapan sistem suspensi dan talaan damping spesifikasi Eropah. Keselesaan pemanduan dikendalikan oleh sistem suspensi udara dwi-bukaan BYD DiSus-A bersama damping boleh ubah berterusan. Ketinggian standard EV ini adalah 120mm, namun ia boleh dilaraskan antara julat 100mm hingga 145mm mengikut keperluan pemanduan.
Imej Galeri Denza D9 GT




























