Pernah dengar tentang Kelas Sekejap? Ia merupakan platform pembelajaran Bahasa Inggeris berasaskan kecerdasan buatan (AI), diasaskan bersama oleh Khairy Jamaluddin, Shahril Hamdan, dan Isaac Tan.
Terbaru, platform itu mengumumkan perluasan peranan mereka daripada aplikasi pembelajaran Bahasa Inggeris, kepada sebuah ekosistem pembelajaran berkuasa AI yang lebih menyeluruh, merangkumi pembelajaran di sekolah, tempat kerja, kandungan pendidikan, malah turut termasuk pembelajaran berjenama (Branded Learning).
Pengumuman ini dibuat menerusi penampilan sulung syarikat kepada umum di acara Sembang Sekejap, yang diadakan di Kuala Lumpur pada 19 Ogos 2026.
Pembangunan Kelas Sekejap sebenarnya bermula daripada satu pemerhatian ringkas. Kebanyakan rakyat Malaysia bukanlah tidak mempunyai pengetahuan kosa kata atau tatabahasa yang betul, tetapi mereka berasa bimbang dan malu untuk bertutur kerana takut tersilap. Melalui pendekatan tutor AI, platform ini menyediakan persekitaran yang selamat untuk pengguna bebas berlatih, menerima maklum balas secara terus, dan membina keyakinan tanpa rasa bimbang dinilai oleh orang lain.
Kelas Sekejap kini bukan sekadar belajar Bahasa Inggeris

Walaupun Bahasa Inggeris menjadi subjek pengenalan, aplikasi Kelas Sekejap kini mula menawarkan topik yang lebih pelbagai merangkumi bidang berita, kerjaya, kewangan, dan kehidupan harian. Dalam perancangan masa depan, mereka turut mengesahkan sokongan untuk Bahasa Melayu dan Mandarin.
Pada masa yang sama, Kelas Sekejap kini turut mempunyai beberapa cabang untuk memenuhi keperluan pembelajaran yang berbeza, termasuklah di sekolah dan tempat kerja.

Untuk sektor pendidikan, Kelas SPM menyediakan pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dengan latihan bertutur dan mendengar berasaskan AI, selaras dengan sukatan pelajaran kebangsaan. Platform ini turut boleh membantu guru mengenal pasti keperluan sokongan setiap pelajar. Buat masa ini, Kelas SPM telah digunakan di beberapa sekolah di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, dan Melaka.
Bagi sektor korporat pula, Kelas Sekejap for Enterprise direka untuk menukarkan pengetahuan dalaman syarikat kepada latihan dan bimbingan berasaskan AI.
Jenama boleh jadi sebahagian daripada pengalaman pembelajaran
Selain itu, Kelas Sekejap turut memperkenalkan konsep Branded Learning, yang membolehkan sesebuah jenama menjadi sebahagian daripada pengalaman pembelajaran itu sendiri, berbanding sekadar menyelitkan iklan.

Menerusi pendekatan ini, jenama boleh terlibat dalam dua cara. Pertama, jenama boleh menukar kepakaran mereka kepada kandungan pembelajaran, sama ada menerusi siri pendidikan format pendek, penceritaan berasaskan AI, atau senario Learn by Talking yang membolehkan pengguna berlatih perbualan dunia sebenar. Sebagai contoh, Kelas Sekejap sebelum ini bekerjasama dengan Tealive menerusi kempen Raya, yang menggunakan situasi seperti membuat pesanan minuman sebagai sebahagian daripada pengalaman pembelajaran bahasa.
Kedua, jenama turut boleh terlibat menerusi ganjaran pembelajaran, di mana pengguna membuka tawaran dan ganjaran selepas melengkapkan pelajaran serta mencapai pencapaian tertentu. Pendekatan ini memberi ganjaran kepada kemajuan pengguna, sambil menjadikan jenama sebahagian daripada motivasi untuk mereka terus belajar.
Disokong pelabur ternama dan lebih 15,000 pelajar berdaftar

Projek ini turut menerima sokongan awal daripada barisan pelabur seperti Mark Koh, Khailee Ng, Joel Neoh, Bryan Loo, Tengku Fahad Mua’adzam Shah, Hawthorne Capital, dan First Move, manakala pusingan pelaburan awal syarikat ini pula diketuai oleh Tan Sri Nazir Razak
Sejak dilancarkan pada 26 Januari 2026, Kelas Sekejap menyatakan mereka kini mempunyai lebih 15,000 pelajar berdaftar, dengan lebih 6,000 perbualan aktif dengan AI, serta purata lebih 150,000 tontonan bagi kandungan pendidikan berformat pendek yang mereka hasilkan merentasi pelbagai platform.
Aplikasi Kelas Sekejap kini boleh dimuat turun menerusi Apple App Store dan Google Play Store. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ekosistem pembelajarannya, pengguna boleh mengunjungi laman web rasmi Kelas Sekejap.






