Apple akhirnya memperkenalkan iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max, dua model flagship terbaharu dalam siri Pro Apple. Kedua-duanya membawa beberapa peningkatan besar pada kamera, prestasi dan jangka hayat bateri, selain cip baharu A20 Pro yang dibina menggunakan proses 2nm.
Antara perubahan terbesar kali ini ialah kamera utama 48MP Fusion dengan apertur boleh ubah. Ia membolehkan pengguna mengawal apertur kamera secara manual buat pertama kali pada iPhone.
Kedua-dua model turut dikuasakan cip A20 Pro baharu yang dibina menggunakan proses 2nm, selain sistem penyejukan vapor chamber yang lebih besar untuk membantu mengekalkan prestasi tinggi dalam tempoh lebih lama.
Harga dan ketersediaan iPhone 18 Pro dan 18 Pro Max
iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro ditawar dalam empat konfigurasi sehingga 2TB, dan berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
iPhone 18 Pro
- 256GB – RM5,499
- 512GB – RM6,499
- 1TB – RM8,499
- 2TB – RM11,499
iPhone 18 Pro Max
- 256GB – RM5,999
- 512GB – RM6,999
- 1TB – RM8,999
- 2TB – RM11,999
Memandangkan Malaysia termasuk dalam gelombang pertama, tempahan awal iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max akan dibuka pada hari jumaat 12 September, jam 8 malam, manakala jualan rasmi bermula pada 18 September 2026.
Menariknya, varian 256GB dan 512GB mengekalkan harga yang sama seperti iPhone 17 Pro dan iPhone 17 Pro Max tahun lalu. Bagaimanapun, harga meningkat dengan ketara untuk pilihan storan lebih besar. Model 1TB berharga RM1,000 lebih tinggi berbanding generasi sebelumnya, manakala varian 2TB pula RM2,000 lebih mahal.
Ini juga kali pertama Apple menawarkan storan 2TB pada iPhone 18 Pro. Sebelum ini, pilihan 2TB hanya tersedia pada iPhone 17 Pro Max.
Kedua-dua iPhone 18 Pro dan 18 Pro Max tersedia dalam empat pilihan warna, iaitu hitam, perak, putih dan merah gelap baharu.
Apa yang baharu pada iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max?

iPhone 18 Pro dan iPhone 18 Pro Max masing-masing masih dilengkapi skrin yang sama jenis Super Retina XDR OLED 6.3″ dan 6.9“. Kedua-duanya turut menyokong ProMotion 120Hz dan Always-On Display.
Namun, perubahan paling ketara pada bahagian hadapan ialah Dynamic Island yang lebih kecil. Walaupun mengambil ruang yang lebih sedikit, Dynamic Island baharu boleh memaparkan sehingga tiga Live Activities secara serentak, selain masih menyokong Face ID.

Untuk prestasi, kedua-dua model menggunakan cip A20 Pro yang dibina menggunakan proses 2nm. Cip ini mempunyai CPU 6-teras dan GPU 7-teras. Apple mendakwa GPU baharu ini sehingga 40% lebih pantas berbanding A19 Pro, manakala lebar jalur memori meningkat sebanyak 50%.

A20 Pro turut dilengkapi Dual 16-core Neural Engine, dengan 32 teras keseluruhan. Apple menyatakan ia menawarkan sehingga dua kali ganda kuasa pemprosesan AI berbanding A19 Pro.
Bagi memastikan prestasi dapat dikekalkan untuk tempoh lebih lama, Apple turut memperkenalkan sistem penyejukan vapor chamber generasi baharu. Sistem ini mempunyai tiga kali ganda permukaan lebih luas berbanding iPhone 17 Pro dan menawarkan sehingga 40% peningkatan prestasi berterusan.

Siri iPhone 18 Pro masih menggunakan sistem tiga kamera, tetapi kamera utamanya menerima peningkatan terbesar. Kedua-dua model dilengkapi sistem kamera 48MP Fusion, terdiri daripada kamera 48MP Fusion Main, 48MP Fusion Ultra Wide dan 48MP Fusion Telephoto.
Kamera utama kini menggunakan sistem apertur boleh ubah, yang merupakan ciri baharu pada iPhone. Ia menggunakan enam bilah yang dipotong menggunakan laser untuk melaraskan apertur mengikut keadaan pencahayaan dan kedalaman medan.

Apertur boleh berubah daripada f/1.48 untuk membantu fotografi dalam keadaan cahaya rendah kepada f/4 bagi memastikan lebih banyak subjek berada dalam fokus. Pengguna juga boleh mengawal apertur secara manual dengan memilih daripada empat tetapan apertur melalui aplikasi Camera.
Apple turut memperkenalkan kawalan Pro Controls dalam aplikasi Camera. Ia membolehkan pengguna melaraskan apertur, shutter speed dan white balance secara manual, selain menggunakan histogram untuk memantau tahap pendedahan exposure.

Satu lagi ciri baharu ialah Apple Reference Image. Apabila mod Reference diaktifkan, kamera akan menangkap data sensor yang ditandatangani secara digital sebelum diproses menjadi imej rujukan yang tidak boleh diubah.
Imej rujukan ini boleh dibandingkan dengan gambar akhir dalam aplikasi Photos untuk melihat sama ada sebarang perubahan telah dibuat.
Apple turut menyediakan API supaya pembangun aplikasi pihak ketiga boleh mengakses ciri imej rujukan ini.
Untuk video, iPhone 18 Pro dan Pro Max boleh menggunakan kesan Cinematic selepas rakaman untuk video sehingga 60fps. Rakaman Time-lapse pula kini menyokong 4K Dolby Vision HDR.
Photographic Styles turut mendapat kawalan baharu untuk tekstur dan grain, manakala Audio Mix menerima algoritma baharu untuk meningkatkan kualiti suara dan mengasingkan muzik.
Hayat bateri turut menerima peningkatan. iPhone 18 Pro menawarkan sehingga 36 jam main balik video, manakala iPhone 18 Pro Max sehingga 45 jam. iPhone 18 Pro boleh dicas sehingga 50% dalam sekitar 15 minit. Bagi iPhone 18 Pro Max, pengecasan berwayar selama lima minit boleh memberikan sehingga sekitar tujuh jam main balik video.
Apple menyifatkan iPhone 18 Pro Max sebagai model yang membawa peningkatan hayat bateri terbesar dalam sejarah iPhone.

Kedua-dua model hadir dengan iOS 27, Apple Intelligence dan Siri AI baharu. Siri AI boleh menggunakan konteks peribadi untuk membantu pengguna mencari maklumat daripada mesej, e-mel dan gambar. Ia juga boleh memahami kandungan pada skrin dan melakukan tindakan berdasarkan perkara yang dipaparkan.
Melalui Camera, Siri juga boleh memahami perkara yang sedang dilihat oleh pengguna dan memberikan maklumat atau mengambil tindakan berdasarkan kandungan tersebut.
Apple Intelligence turut membawa ciri penyuntingan gambar seperti Spatial Reframing, Extend dan Clean Up, manakala Image Playground kini menyokong imej yang lebih realistik. iOS 27 akan tersedia sebagai kemas kini percuma mulai 14 September 2026.
Untuk sambungan tanpa wayar, kedua-dua model menggunakan cip N1 yang menyokong Wi-Fi 7, Bluetooth 6 dan Thread.
Siri iPhone 18 Pro juga menggunakan modem selular C2 baharu. Apple mendakwa C2 menawarkan kelajuan muat naik lebih pantas berbanding C1X, selain menggunakan sehingga 15% kurang tenaga.
Maklumat lanjut boleh anda dapatkan menerusi laman produk iPhone 18 Pro.






