Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah membangunkan aplikasi JAKIM Touch sebagai sebuah platform digital sehenti. Aplikasi ini menghimpunkan pelbagai maklumat, panduan serta perkhidmatan berkaitan hal ehwal Islam bagi memudahkan capaian rujukan masyarakat.
Untuk makluman semua, JAKIM Touch ini bukanlah aplikasi baharu. Paparan di Google Play Store mencatatkan tarikh pelancarannya pada akhir tahun 2021 dan ia telah mula digunakan oleh orang ramai sejak 2022. Malah semakan di Apple App Store pula menunjukkan kemas kini dan penambahbaikan fungsi aplikasi terakhir dilakukan adalah pada tahun 2022.

JAKIM Touch 2.0 dilancarkan dengan kemaskini baharu
Berdasarkan siaran media di laman X rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), YB Senator Dr. Zulkifli Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) telah melancarkan aplikasi JAKIM Touch versi 2.0 pada 2 Oktober 2026 sempena Perhimpunan Agensi Hal Ehwal Agama.
SIARAN MEDIA
— JAKIM (@MyJAKIM) October 4, 2026
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA (JAKIM)
BERKAITAN
PELUNCURAN JAKIM TOUCH PERKASA PENYAMPAIAN MAKLUMAT DAN PERKHIDMATAN ISLAM SECARA DIGITAL pic.twitter.com/ay9V122GHZ
Teras utama JAKIM Touch
Berdasarkan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di laman media sosial tersebut, aplikasi ini mengutamakan fungsi teras JAKIM sebagai kandungan utama aplikasi antaranya:
- Smart al-Quran: pengguna dapat mengakses al-Quran, tafsir dan terjemahan.
- AI chatbot: membantu mendapatkan maklumat awal berkaitan JAKIM dan persoalan hukum-hakam Islam
- Carian Halal: pengguna boleh membuat semakan produk dan perkhidmatan yang disahkan halal.
- Panduan haji dan umrah: pengguna boleh mendapatkan rujukan berkaitan pelaksanaan ibadah haji dan umrah.
- Doa dan hadis: pengguna boleh dapatkan koleksi doa dan hadis untuk amalan harian.
- Penerbitan JAKIM: pengguna dapat mengakses kepada buku dan panduan berkaitan Islam.
- Berita dan info terkini: pengguna dapat menerima maklumat dan perkembangan semasa berkaitan hal ehwal Islam.
AI Chatbot untuk rujukan awal

Menurut kenyataan rasmi JAKIM, penggunaan kecerdasan buatan (AI) membolehkan capaian maklumat dibuat secara interaktif. Walau bagaimanapun, sebarang persoalan yang memerlukan penetapan hukum, fatwa atau pandangan berautoriti tetap perlu dirujuk kepada sumber dan pihak yang berkenaan.
Berdasarkan semakan pada aplikasi ini, chatbot AI yang dikenali sebagai ‘Ustaz Kim’ telah diuji dengan soalan asas seperti ‘hukum tidak berpuasa kerana keuzuran’. Hasilnya, pembantu maya ini berjaya memberikan maklumat berserta pautan rujukan bagi semakan yang lebih terperinci.”
Yang pertama mendapat kelulusan

Selain itu, bagi menjamin ketepatan kandungan ayat-ayat suci Al-Quran, aplikasi Smart Quran merupakan aplikasi mudah alih Al-Quran pertama yang mendapat kelulusan daripada Lembaga Kawalan dan Pelesenan Percetakan Al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN) di bawah Akta Percetakan Teks Al-Quran 1986 (Akta 326).
Bagi bahagian Al-Quran, ke semua surah disusun secara teratur serta dilengkapi dengan terjemahan Bahasa Melayu bagi memudahkan pengguna memahami maksud ayat dengan lebih mendalam.
Ciri waktu solat, arah kiblat dan tasbih digital

Bagi aplikasi berciri Islamik ini, pihak JAKIM turut menyediakan paparan waktu solat semasa mengikut zon lokasi pengguna. Pengguna hanya perlu memilih negeri melalui fungsi tukar zon atau menekan butang ‘Auto-detect’ bagi mengesan lokasi secara automatik dengan lebih mudah.
Selain itu, bahagian penunjuk kiblat pula memaparkan arah sudut kiblat secara digital berserta notifikasi peringatan bahawa kompas digital ini berkemungkinan mempunyai ralat. Oleh itu, pengguna dinasihatkan supaya berada di kawasan yang bebas daripada gangguan magnetik bagi memastikan ketepatan arah kompas.
Disamping itu, terdapat ciri tasbih digital yang membolehkan pengguna berzikir atau berwirid dengan tenang sambil memantau jumlah kiraan semasa secara terus pada skrin.
Perlu penambahbaikan
Selepas empat tahun tanpa sebarang kemas kini sejak 2022, kami telah menguji aplikasi JAKIM Touch versi 2.0 ini. Berdasarkan penerokaan kami, terdapat beberapa bahagian yang perlu ditingkatkan demi menyampaikan maklumat terbaharu kepada pengguna. Antara aspek yang telah kami semak ialah:

- Khutbah: Kandungan di bahagian Khutbah tidak dikemas kini sejak 4 Jun 2026. Tiada perkongsian khutbah baharu untuk bulan Julai hingga Oktober ini.
- Berita dan info JAKIM: Berdasarkan semakan, kandungan berita terbaharu yang dimuat naik adalah bertarikh 15 September 2026, manakala maklumat di bahagian informasi pula bertarikh 29 Julai 2026. Diharapkan pihak JAKIM dapat mengemas kini kandungan aplikasi ini dengan maklumat yang lebih baharu.
- MyHadith: Selain itu, terdapat juga kesalahan ejaan dan perkataan yang rapat di bahagian MyHadith, contohnya perkataan ‘merak’ dan ‘Nabi SAWberpendapat’.
- MyeHALAL: Di samping isu kandungan yang belum dikemas kini, ciri MyeHalal di bahagian ini juga didapati masih belum boleh diakses.
Bagi yang ingin mendapatkan aplikasi JAKIM Touch ini, anda boleh memuat turun melalui Google Play Store, Apple App Store dan Huawei AppGallery.
Apa pandangan anda tentang aplikasi ini, cuba kongsikan diruangan komen!






