Nothing telah memperkenalkan Headphone (1) Pro pada hujung September lalu sebagai fon kepala paling premium dalam barisan audio mereka. Berikutan itu, Nothing kini secara rasminya membawa masuk Headphone (1) Pro ke pasaran Malaysia berserta pengumuman harga jualan tempatannya.
Diposisikan sebagai fon kepala paling canggih pernah dihasilkan Nothing setakat ini, Headphone (1) Pro menampilkan sistem tiga pemandu serba baharu serta audio ditala bersama pakar studio, Metropolis Studios.
Harga dan ketersediaan Headphone (1) Pro di Malaysia

Nothing Headphone (1) Pro dibuka untuk tempahan awal di Malaysia bermula 6 Oktober 2026 pada harga rasmi RM1,499. Sebagai perbandingan, harganya adalah RM400 lebih tinggi berbanding model Headphone (1) standard.
Kepada yang berminat, Headphone (1) Pro boleh didapati menerusi nothing.tech, Nothing Image Store, serta Lazada dan Shopee. Sebagai alternatif, ia juga tersedia menerusi pengedar sah seperti TMT dan urban Republic.
Spesifikasi Nothing Headphone (1) Pro

Untuk imbas kembali berkenaan spesifikasinya, Headphone (1) Pro menggunakan sistem tiga pemandu yang terdiri daripada tiga pemandu berbeza untuk mengendalikan julat frekuensi tertentu.
Ia mempunyai pemandu dinamik 40mm untuk menghasilkan bass, pemandu 13 x 8mm bagi memberikan lebih banyak tekstur dan perincian pada vokal, serta xMEMS solid-state driver untuk menghasilkan bunyi frekuensi tinggi yang lebih jelas.

Nothing turut bekerjasama dengan Metropolis Studios bagai talaan audio Headphone (1) Pro. Ia dilengkapi dengan suis fizikal Flat EQ yang membolehkan pengguna bertukar kepada profil bunyi lebih neutral dengan mudah. Terdapat juga mod Studio B, yang menggunakan Dynamic Spatial Audio untuk menghasilkan karakter bunyi seakan bilik mixing profesional.


Selain itu, ia turut dilengkapi sistem penyaring hingar aktif (ANC) adaptif dengan tahap pembatalan bunyi sehingga 46dB menggunakan 10 mikrofonyang dimiliknya. Headphone (1) Pro turut menyokong main balik Hi-Res secara wayarles mahupun berwayar menerusi USB-C
Dari segi reka bentuk, Headphone (1) Pro masih mengekalkan identiti lutsinar Nothing, tetapi menggunakan gabungan aluminium, titanium dan kaca Panda Glass 9H yang tahan calar serta lebih lasak. Ia mempunyai berat sekitar 327 gram berserta kusyen telinga baharu dan headband yang lebih selesa untuk pemakaian jangka panjang.

Untuk bateri pula, Headphone (1) Pro dikatakan mampu menawarkan sehingga 68 jam penggunaan dengan ANC dimatikan, selain menyokong pengecasan pantas.
Pengguna juga boleh menggunakan aplikasi Nothing X untuk mengubah suai pengalaman audio, termasuk Advance EQ bagi kawalan lebih mendalam terhadap frekuensi dan setiap pemandu, serta Personal Sound untuk hasilkan profil EQ mengikut cara setiap pengguna mendengar.


Headphone (1) Pro turut diiktiraf kalis percikan air IP52 dan ditawarkan dalam dua pilihan warna, iaitu hitam dan putih.
Produk audio Nothing lain kembali tersedia di Malaysia
Dalam masa sama, atas permintaan ramai terhadap produk audio Nothing, Nothing turut mengumumkan bahawa beberapa produk audio mereka kembali tersedia di Malaysia.
Antara produk yang kembali dalam stok termasuk Ear (3a), Ear (3), Headphone (a) dan Headphone (1).






