Bermula 1 Mac 2019, telefon pintar terbaik Huawei iaitu Mate 20 Pro akan diturunkan harga sebanyak RM600. Semasa dilancarkan Oktober lepas, ia diumumkan dengan harga RM3,599. Selepas ini, orang ramai boleh membelinya pada harga RM2,999 sahaja.
Pada hujung bulan lepas, Huawei telah menurunkan harga untuk Huawei Mate 20 dari RM2,799 kepada RM2,399 sahaja, potongan harga sebanyak RM400. Bagaimanapun, harga Mate 20X masih kekal di RM3,199.
Harga baru Mate 20 Pro kini hampir menyamai harga P20 Pro yang kini dijual pada RM2,949. Spesifikasi Mate 20 Pro jauh lebih berkuasa dari P20 Pro dengan penggunaan cip baru Kirin 980, bateri lebih besar 4,200mAh, pengecas lebih pantas 40W. dan menyokong pengecasan wayarles terbalik.
Selain itu, Huawei Mate 20 Pro menggunakan sistem tiga kamera Leica yang berbeza dari P20 Pro. Tiga kamera tersebut menggabungkan lensa utama 40MP F1.8, lensa sudut ultra lebar 20MP F2.2 dan lensa telefoto 8MP F2.4. Kamera hadapan pula 24MP F2.0 dan menyokong pengecaman tahap kedalaman 3D.
Skrin Mate 20 Pro juga lebih besar, jenis OLED seluas 6.39-inci dengan resolusi tinggi QuadHD+. Bagaimanapun, ia memiliki takuk di dahi yang sangat besar.
Orang ramai boleh mendapatkan Huawei Mate 20 Pro dengan harga baru ini dalam tiga warna, iaitu Emerald Green, Twilight dan Hitam, menerusi Stor Online Huawei, pengedar sah Huawei dan syarikat telekomunikasi.