Jenama Coros memperkenalkan jam tangan pintar Coros Pace 4 Pro baharu, yang lebih premium serta dinamik daripada versi jam tangan Coros Pace 4 yang lama. Versi baharu ini hadir dengan rekaan eksklusif khusus untuk pencinta sukan tahan lasak.
Coros menerapkan teknologi yang praktikal pada rekaan jam tangan pintar baharunya, disamping memberikan pengalaman yang terbaik untuk si pemakai yang melalui sesi latihan yang padat.
Ringan dan paparan skrin yang luas
Dengan berat 43 gram dan kelebaran sekitar 11.8 milimeter, menjadikan jam tangan Pace 4 Pro antara jam sukan yang ringan dan kompak. Selain itu, jam sukan ini dibina dengan paparan skrin sentuh yang berkeluasan sekitar 1.47 inci.
Jam Coros Pace 4 Pro ini juga tampil dengan penggunaan bahan yang premium, di mana bahagian bezel jam menggunakan besi titanium TC4 dan disempurnakan panel skrin sentuh kaca jenis Sapphire Glass display yang tahan lasak untuk kegunaan harian penggiat sukan.


Ketahanan bateri lebih lama ketika bersukan

Untuk penggiat sukan yang banyak menghabiskan masa dengan melakukan latihan pastinya memerlukan jam tangan yang dapat bertahan lama. Dengan Pace 4 Pro, ia direka dapat bertahan sekitar 11 jam 48 minit jika melakukan aktiviti sukan seperti:
- Berenang sejauh 2.4 batu atau lebih kurang 3.8 kilometer
- Berlari sejauh 26.2 batu atau lebih kurang 42.1 kilometer
- Berbasikal sejauh 112 batu atau lebih kurang 180 kilometer

Tambahan lagi jam ini turut menyokong fungsi frekuensi GPS dan ketahan bateri GPS sehingga 60 jam atau 21 hari untuk kegunaan harian biasa. Bukan itu saja, Coros Pace 4 Pro ini turut mempunyai sensor denyutan jantung elektrik yang dapat memaparkan maklumat tentang kadar denyutan jantung semalaman pengguna dengan bacaan yang tepat.
Serta menerusi paparan skrin sentuh, pengguna dapat melihat paparan stres harian dan berapa kadar denyutan jantung ketika melakukan latihan.
Harga Coros Pace 4 Pro dan ketersediaan

Jam tangan sukan ini bakal dilancarkan pada 21 Oktober 2026 untuk pasaran Malaysia nanti, segala perincian dari segi harga, warna dan untuk pasaran tempatan akan dikemaskini selepas pelancaran rasmi Coros Pace 4 Pro akan datang.
Bagi yang ingin mengetahui spesifikasi lebih lanjut jam tangan pintar ini, anda boleh layari laman sesawang Coros global.






