Redmi Note 7 hari ini telah dilancarkan di India, tapak pertamanya di luar China. Tetapi ia tampil dalam perisa yang berbeza dengan yang terdapat di China. Ada dua model yang diperkenalkan di India iaitu Redmi Note 7 dan Redmi Note 7 Pro.
Redmi Note 7 yang dilancarkan di China, ibarat dipotong dua di India apabila sebahagian dari spesifikasinya pergi ke Redmi Note 7 dan sebahagian lagi hanya ada di Redmi Note 7 Pro.
Redmi Note 7
Rupa luaran masih sama kerana Redmi Note 7 masih menggunakan skrin seluas 6.3-inci, HD Penuh serta bertakuk kecil titisan air. Bateri juga sama besar, 4,000mAh dengan port USB-C dan menyokong pengecasan pantas Quick Charge 4.
Kuasa dalaman Redmi Note 7 masih sama, menggunakan cip Snapdragon 660, dengan RAM antara 3GB atau 4GB serta storan dalaman antara 32GB dan 64GB.
Perbezaannya terdapat pada kamera. Sedang model di China dipasang dengan lensa 48MP, Redmi Note 7 di India hanya memiliki lensa 12MP bersama lensa kedua 2MP di belakang. Di hadapan pula, ia menggunakan lensa 13MP.
Harga jualannya di India bermula dari INR9,999 (~RM574) dengan RAM 3GB dan storan 32GB, manakala versi lebih tinggi, RAM 4GB dan storan 64GB berharga INR11,999 (~RM689).
Redmi Note 7 Pro
Bagi versi Pro, peningkatan paling ketara ialah penggunaan cip lebih berkuasa, Snapdragon 675. Xiaomi berkongsi carta AnTuTu di mana prestasi Redmi Note 7 Pro adalah lebih baik dari peranti dengan cip Snapdragon 710.
Skrinnya sama, 6.3-inci HD Penuh dan takuk kecil titisan air. Ia dilapisi Corning Gorilla Glass 5.
RAM dan storan lebih besar juga digunakan pada versi Pro. Pilihan yang tersedia ialah RAM 4GB bersama storan 64GB atau RAM 6GB dan storan 128GB. Kad mikroSD sedia diterima untuk meluaskan ruang storan.
Kamera hadapannya sama, menggunakan sensor 13MP. Tetapi di belakang, versi Pro menggunakan lensa 48MP F1.79 dengan sensor Sony IMX586, bersama lensa kedua 5MP untuk menangkap tahap kedalaman. Kamera belakang ini juga boleh menggabungkan 4-piksel berhampiran, untuk menghasilkan gambar lebih cerah dengan resolusi 12MP.
Bateri 4,000mAh dan port USB-C turut diguakan oleh versi Pro. Di samping itu, ia masih mengekalkan jek audio 3.5mm dan juga pemancar infra merah. Xiaomi turut menyatakan, telefon ini memiliki selaput nano P2i untuk pertahanan lebih baik dari percikan air.
Redmi Note 7 Pro dijual di India pada harga INR13,999 (~RM804) bagi model RAM 4GB dan storan 64GB, manakala INR16,999 (~RM967) pula bagi RAM 6GB dan storan 128GB.
Untuk perbandingan, Redmi Note 7 di China yang menggunakan cip Snapdragon 660 dan kamera 48MP dijual pada harga seperti berikut:
- RAM 3GB + Storan 32GB – RMB999 (RM603)
- RAM 4GB + Storan 64GB – RMB1199 (RM724)
- RAM 6GB + Storan 64GB – RMB1399 (RM845)
Versi yang manakah akan datang ke Malaysia? Semasa Redmi Note 5 yang lepas, situasi yang sama berlaku di mana China hanya ada satu versi tetapi India melancarkan dua model yang sedikit berbeza. Hasilnya, kita di Malaysia menerima versi China.
Pastinya lebih baik kalau Malaysia juga menerima Redmi Note 7 Pro seperti India kerana ia memiliki cip lebih baru Snapdragon 675. Khabarnya Redmi Note 7 akan mula dijual di Malaysia pada bulan Mac ini, tak lama lagi dah tu. Doakan yang terbaik akan muncul di Malaysia.