Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, perkataan “ganti MyKad” sering kali mencetuskan keluhan tentang deretan kerusi menunggu yang sesak dan angka giliran yang bergerak perlahan. Walau bagaimanapun, revolusi digital telah mengubah landskap birokrasi ini secara drastik.
Melalui inisiatif pendigitalan perkhidmatan awam melalui aplikasi MyGOV, proses gantian MyKad yang dahulunya melecehkan kini berada tepat di tapak tangan anda. Hanya perlu buka telefon, lengkapkan permohonan secara dalam talian dan kad pengenalan baharu sedia untuk diambil.
Ganti MyKad melalui aplikasi MyGOV

Dengan sambungan internet yang stabil dan peranti di tangan, anda mempunyai kawalan penuh untuk memperbaharui MyKad pada bila-bila masa. Bagi anda yang memerlukan kad gantian tanpa perlu mengorbankan waktu kerja, buka telefon pintar anda sekarang dan ikuti lima langkah tersusun ini:
- Muat turun atau kemaskini aplikasi MyGOV: Muat turun aplikasi MyGOV Malaysia melalui Google Play Store, Apple App Store atau Huawei App Gallery. Pastikan ia dikemas kini ke versi terkini supaya urusan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan teknikal.
- Log masuk ke profil: Akses akaun MyGOV anda yang telah disahkan untuk memulakan transaksi secara selamat.
- Pilih servis kelahiran dan pengenalan diri: Pergi ke menu perkhidmatan dan pilih kategori Kelahiran & Pengenalan Diri apabila masuk dalam bahagian tersebut anda klik pada bahagian Kad Pengenalan. Kemudian anda akan lihat butiran maklumat kad pengenalan, scroll ke bawah dan klik Penggantian MyKad untuk mohon gantian kad baharu.
- Isi butiran dan muat naik dokumen: Lengkapkan maklumat peribadi yang diminta dengan tepat dan muat naik dokumen sokongan jika di minta.
- Hantar permohonan dan selesaikan urusan: Buat semakan akhir, hantar permohonan dan ikuti arahan seterusnya termasuk urusan pembayaran secara dalam talian serta penetapan cawangan JPN pilihan untuk kutipan kad baharu anda.
Waktu operasi sistem gantian MyKad secara dalam talian
Untuk makluman walaupun permohonan gantian kad pengenalan boleh dibuat secara dalam talian dan sedikit sebanyak memudahkan urusan, namun ia bukan bermakna anda boleh melakukan permohonan pada bila-bila masa.
Ini kerana menurut bahagian terma dan syarat di aplikasi MyGOV ini, anda hanya boleh lakukan permohonan gantian kad pengenalan mengikut waktu operasi yang ditetapkan bagi sistem gantian MyKad dalam talian JPN sahaja.
Berikut adalah waktu operasi sistem dalam talian:
- Sistem dibuka: Isnin hingga Jumaat mulai 8.00 pagi sehingga 4.30 petang
- Sistem ditutup: Sabtu, ahad dan cuti umum
Jadi pastikan anda menyemak terlebih dahulu hari dan waktu sistem gantian MyKad dibuka dalam talian bagi mengelakkan sistem ralat.
Jenis perkhidmatan gantian MyKad

Melihat lebih terperinci menerusi permohonan dalam sistem gantian kad pengenalan dalam aplikasi MyGOV ini, sistem ini menyenaraikan empat jenis gantian MyKad yang ditawarkan. Berikut senarai jenis penggantian kad pengenalannya:
- Gantian biasa (MyKad generasi baharu)
- Gantian kerosakan kad fizikal
- Gantian kerosakan cip
- Gantian hilang kali pertama (kecuaian)
Caj gantian MyKad
Servis gantian kad pengenalan mempunyai kadar caj yang tersendiri, bergantung pada jenis penggantian yang anda pilih. Berikut adalah caj bayaran yang dinyatakan oleh JPN:
Caj gantian biasa (MyKad generasi baharu): RM10 untuk bayaran permohonan
Caj gantian kerosakan kad fizikal & kerosakan cip: RM10 untuk warganegara dan RM40 untuk bukan warganegara
Caj gantian hilang kali pertama (warganegara): RM10 untuk bayaran permohonan dan RM100 untuk bayaran proses, jumlah keseluruhan RM110
Caj gantian hilang kali pertama (bukan warganegara): RM40 untuk bayaran permohonan dan RM100 untuk bayaran proses, jumlah keseluruhan RM140
Sekadar info, untuk gantian kerosakan kad fizikal dan gantian bagi cip rosak anda layak mendapat MyKad gantian baharu secara percuma tanpa sebarang bayaran caj permohonan, sekiranya kad tersebut mengalami kerosakan dalam tempoh satu tahun (12 bulan) selepas anda mengambilnya di kaunter JPN.
Tempoh kutipan kad pengenalan yang dah siap

Berikut adalah tempoh ataupun masa yang dinyatakan mengikut JPN:
- Tempoh 30 minit: Selepas transaksi permohonan dalam talian berjaya, kutipan boleh dilakukan di Ibu Pejabat JPN Wilayah Persekutuan Putrajaya, Ibu Pejabat Negeri dan JPN yang mempunyai mesin cetakan.
- Tempoh 5 hari bekerja: Selepas transaksi permohonan dalam talian berjaya, kutipan boleh dilakukan di JPN cawangan Semenanjung Malaysia.
- Tempoh 7 hari bekerja: Selepas transaksi permohonan dalam talian berjaya, kutipan boleh dilakukan di JPN cawangan Sabah dan Sarawak.
Sekadar info, pastikan sebelum anda membuat keputusan untuk mengambil kad pengenalan yang di mohon pastikan anda menyemak terlebih dahulu status permohonan melalui laman sesawang JPN dan jika telah siap serta tersedia barulah anda kunjungi cawangan JPN yang anda pilih sewaktu permohonan.
Tiada pemulangan wang jika batalkan permohonan

Untuk makluman jika anda telah berjaya melakukan permohonan secara dalam talian, ia akan terus diproses untuk cetakan sebaik sahaja resit dikeluarkan oleh sistem gantian MyKad. Oleh itu, tiada pemulangan wang akan dilakukan oleh JPN sekiranya anda bertukar fikiran dan ingin membatalkan permohonan yang telah berjaya.
Namun jika anda telah membuat pembayaran dan secara tiba-tiba permohonan gantian MyKad tidak berjaya dilakukan melalui sistem dalam talian. Maka proses pemulangan duit ke akaun pemohon akan dilakukan dan mengambil masa 10 hari sehingga 90 hari bekerja.
Anda akan dihubungi melalui telefon atau emel yang didaftarkan sekiranya transaksi pemulangan wang ke akaun anda telah berjaya.
Walaupun tiada lagi masa berharga yang terbuang di ruang menunggu, dan tiada lagi kekangan masa operasi kaunter fizikal kerana permohonan boleh dimulakan pada bila-bila masa mengikut kelapangan anda. Namun waktu operasi terhad kepada hari bekerja sahaja, iaitu Isnin sehingga Jumaat dan dari jam 8.00 pagi sehingga 4.30 petang.
Apa pandangan anda tentang proses gantian kad pengenalan melalui aplikasi MyGOV ini? Kongsikan pandangan anda di ruangan komen!
Sumber: Facebook Kementerian Digital, Jabatan Pendaftaran Negara, Thread JPN






