Rakyat Malaysia kini boleh menikmati pembayaran lebih mudah di luar negara menggunakan DuitNow QR. Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) telah mengumumkan peluasan kemudahan pembayaran rentas sempadan melalui Alipay+, platform pembayaran digital kendalian Ant International.
Melalui inisiatif ini, pengguna aplikasi perbankan mudah alih tempatan boleh membuat transaksi pembayaran di premis perniagaan yang memaparkan logo Alipay+ di lima destinasi terawal.
Destinasi dan bank yang menyokong
Buat masa ini, kemudahan pembayaran QR rentas sempadan ini tersedia di lima destinasi iaitu China, Hong Kong, Korea Selatan, Filipina, dan Laos. PayNet turut memaklumkan bahawa lebih banyak destinasi akan ditambah secara berperingkat.
Pada peringkat awal pelancaran, kemudahan tersebut ditawarkan kepada pelanggan tiga bank, iaitu Maybank, CIMB dan Hong Leong Bank. Bank Islam dijangka menawarkan kemudahan ini dalam tempoh terdekat, manakala bank-bank serta penyedia e-dompet lain di bawah rangkaian PayNet akan menyusul kemudian.
Cara bayar guna DuitNow QR di luar negara
Dengan kemudahan ini, pengguna tidak perlu memuat turun aplikasi pihak ketiga atau mendaftar akaun Alipay+ baharu. Transaksi boleh dilaksanakan secara terus menggunakan aplikasi perbankan sedia ada.
Untuk membuat pembayaran, pengguna hanya perlu membuka fungsi DuitNow QR dalam aplikasi perbankan masing-masing dan mengimbas kod QR peniaga yang memaparkan logo Alipay+. Selepas mengimbas, semak butiran pembayaran dan sahkan transaksi dalam aplikasi yang sama.
Perlu diingatkan, tidak seperti TnG eWallet, pembayaran melalui aplikasi perbankan hanya menyokong transaksi satu hala. Pengguna perlu mengimbas kod QR yang dipaparkan oleh peniaga, manakala peniaga tidak boleh mengimbas kod QR pada peranti pengguna untuk menerima pembayaran.
Pelengkap kepada ketersambungan dua hala
Pelancaran ini merupakan kesinambungan kepada kerjasama antara PayNet dan Ant International yang dimulakan sejak November 2023. Fasa terdahulu membolehkan pelancong antarabangsa daripada rakan e-dompet Alipay+ membuat pembayaran di premis peniaga DuitNow QR di Malaysia.
Peluasan terbaharu ini melengkapkan integrasi dua hala, sekali gus membolehkan pembayar dari Malaysia menikmati kemudahan pembayaran tanpa tunai yang sama ketika berada di luar negara.
Menurut PayNet, peluasan ini dilaksanakan susulan pertumbuhan ketara aktiviti pembayaran rentas sempadan semakin meningkat, dengan PayNet merekodkan hampir 30 juta transaksi rentas sempadan sepanjang tahun 2025 peningkatan sekitar 150 peratus berbanding 2024 dengan transaksi di China menyumbang sebahagian besar daripada jumlah tersebut.
Pada masa ini, ekosistem global Alipay+ menghubungkan lebih 150 juta peniaga di lebih 210 pasaran antarabangsa, menawarkan alternatif pembayaran tanpa tunai yang lebih praktikal bagi pelancong serta pengguna perniagaan dari Malaysia.
Untuk pengetahuan anda, Alipay+ merupakan tambahan terbaharu kepada rangkaian pembayaran rentas sempadan PayNet, selepas integrasi bersama NETS QR di Singapura, PromptPay di Thailand, QRIS di Indonesia, Bakong di Kemboja, serta UnionPay QR.






