Sony Interactive Entertainment memperkenalkan Prism Collection, koleksi aksesori baharu untuk PlayStation 5 (PS5) yang hadir dengan reka bentuk lut sinar. Koleksi ini membawakan gaya retro yang mengingatkan kepada peranti elektronik era 90-an, tetapi dengan sentuhan moden dan pilihan warna yang lebih menarik.
Prism Collection terdiri daripada alat kawalan PS5 DualSense serta penutup konsol PS5 yang yang menggunakan kerangka lut sinar dengan kemasan berkilat. Reka bentuk ini membolehkan sebahagian komponen dalaman, seperti kipas penyejuk konsol dan mekanisme getaran pada pengawal, dilihat dari luar.luar.
Koleksi ini hadir dalam tiga pilihan warna, iaitu Flare Orange, Emerald Green dan Graphite Gray.
Harga koleksi Sony PlayStation Prism di Malaysia

Bagi peminat Malaysia yang ingin mendapatkan koleksi ini, anda tak perlu risau kerana Sony telah pun mendedahkan harga rasmi untuk pasaran Malaysia. Ini sekali gus bermakna koleksi ini turut akan tiba ke pasaran tempatan.
Untuk Controller DualSense Prism Collection, ia dijual pada harga RM419. Manakala bagi pengguna yang ingin menggantikan penutup kosol PS5 mereka, penutup konsol PS5 Prism Collection pula dijual pada tanda harga RM369.
Untuk pengetahuan anda, harga RM419 bagi Controller DualSense Prism Collection ini sedikit lebih tinggi daripada DualSense warna biasa, tetapi tanda harga yang sama dengan kebanyakan DualSense tema khas atau edisi terhad.
Walaupun Sony telah mengesahkan harga untuk pasaran Malaysia, tarikh pelancaran khusus di negara ini masih belum diumumkan. Jualan global Prism Collection pula akan bermula pada 4 Februari 2027.
Sentuhan retro dengan kemasan moden



Menurut PlayStation, Prism Collection diinspirasikan daripada trend alat kawalan lut sinar yang popular pada penghujung era 90-an. Pasukan reka bentuk Sony mahu mengembalikan gaya tersebut dalam pendekatan lebih moden yang sesuai dengan reka bentuk PS5.
Selain membawakan penampilan lut sinar, setiap aksesori turut diberikan kemasan berkilat untuk menghasilkan rupa yang lebih premium. Pada alat kawalan DualSense, bahagian belakang menggunakan kemasan lut sinar yang membolehkan pengguna melihat sebahagian teknologi di dalamnya.

Bahagian tengah penutup konsol pula diberikan kemasan logam bagi mewujudkan kontras dengan permukaan lut sinar di sekelilingnya
Ketiga-tiga pilihan warna juga mempunyai penampilan tersendiri. Flare Orange menggabungkan tona merah dan jingga, manakala Emerald Green menggunakan warna hijau gelap yang memberikan kesan lebih mendalam melalui bahan lut sinar. Graphite Gray pula hadir dengan tona kelabu sejuk untuk penampilan lebih ringkas dan elegan.
[Sumber: Sony PlayStation]






