RedMagic pada bulan September lalu telah melancarkan RedMagic Astra 2 untuk pasaran Malaysia. Ia merupakan tablet gaming flagship terbaharu mereka bagi tahun ini dan pengganti kepada Astra tahun lalu.
Tetapi kini, kelihatan RedMagic mengumumkan semula ketersediaan tablet ini di Malaysia, kali ini sebagai unit rasmi tempatan yang mempunyai pensijilan SIRIM. Menariknya, harga yang ditawarkan juga lebih rendah berbanding set global yang dijual sebelum ini.
Walau bagaimanapun, unit baharu ini hanya tersedia dalam satu pilihan warna, iaitu Eclipse Black, serta tidak boleh dibeli secara dalam talian.
Harga baharu RedMagic Astra 2 di Malaysia

RedMagic menyatakan model ekslusif disahkan SIRIM ini hanya tersedia di saluran luar talian sahaja. Ia boleh didapatkan di Malaysia sekarang dalam dua varian, pada harga seperti berikut:
- 12GB + 256GB – RM3,399
- 16GB + 512GB – RM3,999
Untuk membuat pembelian, tablet Astra 2 ini tersedia menerusi kedai jenama ZTE Nubia di lokasi berikut:
- IOI City Mall, Putrajaya
- IOI Mall Puchong, Selangor
- Plaza Low Yat, Kuala Lumpur
- Plaza Merdeka Mall, Kuching, Sarawak
Berbanding pelancaran pada September lalu, pilihan warna Starfrost tidak lagi tersedia. Sebaliknya, model rasmi dengan SIRIM ini hanya ditawarkan dalam warna Eclipse Black.
Sebagai perbandingan, set global yang mula dijual sebelum ini melalui laman web rasmi RedMagic Malaysia dan Shopee mempunyai harga rasmi serta harga promosi seperti berikut:
- RedMagic Astra 2 (12GB + 256GB) –
RM 4,599RM3,599 - RedMagic Astra 2 (16GB + 512GB) –
RM 5,399RM4,399
Ini bermakna harga baharu untuk set SIRIM ini RM200 lebih murah bagi varian 12GB + 256GB dan RM400 bagi varian 16GB + 512GB.
Spesifikasi RedMagic Astra 2

Mengimbas kembali mengenai spesifikasi, kuasa RedMagic dipacu cip flagship Snapdragon 8 Elite Gen 5, dengan gandingan RAM LPDDR5X seluas 12GB dan storan dalaman UFS 4.1 seluas 512GB. Menurut RedMagic, cip ini menawarkan peningkatan prestasi 20% dan prestasi grafik 23% berbanding generasi sebelumnya, selain menggunakan 35% kurang kuasa.
Tablet ini turut dilengkapi cip gaming khusus RedCore R4 yang mengendalikan kesan visual dalam permainan, peningkatan resolusi 2K dan pengurusan kuasa.
Untuk memastikan prestasi kekal stabil ketika bermain dalam tempoh lama, tablet ini menggunakan sistem penyejukan AquaCore Cooling System 2.0. Ia menggabungkan penyejukan cecair dengan pam mikro seramik piezoelektrik, Large Vapor Chamber 4D VC dan Liquid Metal 3.0 bagi membantu menyalurkan haba daripada komponen dalaman.

Pada bahagian hadapan, Astra 2 dilengkapi skrin OLED 9.06 inci dengan resolusi 2.4K (2,400 x 1,504 piksel), kadar segar semula 185Hz dan kecerahan puncak 1,600 nits. Skrinnya mempunyai bezel 4.9mm, nisbah skrin-ke-badan 90.1% serta cip sentuhan Synaptics S3930 yang menyokong kadar pensampelan 300Hz secara purata dan sehingga 2,000Hz secara serta-merta. Paparan ini turut menerima pensijilan SGS untuk perlindungan mata dan dilindungi kaca Corning Gorilla Glass 3.
Tenaga tablet pula disalurkan oleh bateri berkapasiti 8,300mAh yang menyokong pengecasan pantas sehingga 75W. Ia dilengkapi dua port USB-C, iaitu USB 3.2 Gen 2 yang menyokong pengecasan 75W dan USB-C 2.0 yang menyokong pengecasan sehingga 40W serta output audio. Kedua-dua port ini turut menyokong fungsi pengecasan berbalik untuk mengecas peranti lain

RedMagic mendakwa baterinya boleh bertahan sehingga 9.6 jam penggunaan harian atau 9.09 jam bermain Genshin Impact, manakala pengecasan penuh mengambil masa sekitar 57 minit.
Untuk audio dan pengimejan, Astra 2 mempunyai kamera belakang 13MP, kamera hadapan 9MP, dua pembesar suara stereo dengan sokongan DTS Ultra serta motor linear paksi-X untuk maklum balas haptik 4D. Ia turut dilengkapi pencahayaan RGB yang boleh disesuaikan.
Badan tablet ini mempunyai berat 363g dan ketebalan 6.9mm, dengan binaan logam serta bingkai aluminium. Bahagian belakangnya dilengkapi aksen kaca lut sinar yang memperlihatkan sistem penyejukan dan lampu RGB. Ia turut mempunyai butang Magic Key yang fungsinya boleh disesuaikan.

Ciri lain termasuk ketahanan habuk dan percikan air IP54, pengimbas cap jari, pengecaman wajah, Bluetooth 6.0 . RedMagic Astra 2 menjalankan sistem operasi RedMagic OS 11.5 berasaskan Android 16.
Maklumat lanjut tentang spesifikasi boleh anda dapatkan menerusi laman produk Redmagic Astra 2.






