Poco hari ini mengumumkan ahli terbaru dalam keluarga Poco X8, iaitu Poco X8s. Ia hadir sebagai model lebih kompak dalam barisan, dan dilihat berada setahap lebih tinggi berbanding Poco X8 diumumkan September lalu, tampil dengan cip lebih berkuasa, pengecasan lebih pantas serta sistem kamera lebih lengkap dengan telefoto.
Lebih menarik, Poco turut menawarkan potongan harga sehingga RM500 menerusi promosi pelancaran yang berlangsung dari 10 hingga 25 November 2026.
Harga dan ketersediaan Poco X8s di Malaysia

Bagi yang berminat, Poco X8s akan mula dijual di Malaysia bermula 10 November. Ia tersedia dalam dua varian, dan menariknya ditawarkan dengan storan besar sehingga 512GB. Berikut adalah harga jualannya di Malaysia:
- Poco X8s (8GB + 256GB) –
RM1,899RM1,399 - Poco X8s (12GB + 512GB) –
RM2,099RM1,699
Anda boleh dapatkan telefon ini dalam tiga pilihan warna iaitu Biru, Putih, dan Hitam (kemasan hitam-perak). Pembelian boleh dibuat menerusi laman web rasmi mi.com serta kedai rasmi Poco di platform Shopee, Lazada, dan TikTok Shop.
Sebagai perbandingan, harga Poco X8s ini sedikit lebih tinggi berbanding Poco X8, yang pada ketika itu dilancarkan pada harga RM1,299 untuk varian 8+256GB dan RM1,499 untuk varian 12GB + 256GB.
Spesifikasi Poco X8s

Poco X8s mempunyai badan berukuran tebal 8.06mm dan berat 187g. Ia menggunakan bingkai aluminium dengan bucu sedikit melengkung dan panel belakang kaca. Di bahagian belakang, terdapat pepulau kamera besar berbentuk petak yang menempatkan sistem kamera, dengan modul kamera sepadan dengan warna badan telefon.
Telefon ini mempunyai skrin AMOLED dengan resolusi 1.5K (2656 x1220) berukuran 6.35″ dengan bezel nipis 1.18mm. Panelnya menggunakan paparan M10 dengan kecerahan puncak sehingga 3,500 nits dan menyokong kadar segar semula adaptif 1-120Hz, yang pertama bagi Poco untuk mengimbangi visual yang lebih lancar dengan penggunaan kuasa yang lebih rendah.

Skrinnya memiliki tiga pensijilan penjagaan mata daripada TÜV Rheinland. Turut disertakan pengimbas cap jari ultrasonik, yang menyokong sentuhan jari ketika basah dan pendaftaran cap jari secara tekan dan gelongsor untuk pengecaman lebih pantas.
Poco X8s menggunakan sistem tiga kamera belakang. Kamera utamanya ialah 50MP dengan sensor Light Fusion 800 dan penstabilan imej optik (OIS). Buat pertama kali dalam Siri Poco X, terdapat juga kamera telefoto 50MP yang menyokong zum optikal 2.5x, bersama kamera ultralebar 8MP. Kamera hadapan pula menggunakan sensor 20MP.

Selain itu, ia turut menyokong ciri Live Moment yang boleh merakam momen bergerak pada resolusi sehingga 1080p.
Telefon ini dikuasakan cip Snapdragon 7 Gen 4. Menurut Poco, ia memberi prestasi yang cukup responsif untuk pelancaran aplikasi, multitugas dan hiburan. Ia dipadankan dengan RAM LPDDR4X seluas 12GB dan storan dalaman UFS 2.2 seluas 512GB. Sistem penyejukan Poco 3D IceLoop membantu mengawal suhu semasa tugasan berat, supaya prestasi dapat dikekalkan lebih lama.

Poco X8s mempunyai bateri 6,330mAh dengan 16% kandungan silikon. Ia menyokong pengecasan pantas HyperCharge 100W dan pengecasan terbaik 22.5W untuk membekalkan kuasa kepada peranti lain secara berwayar.
Telefon ini mempunyai penarafan kalis air dan habuk IP68, serta speaker stereo dengan sokongan Dolby Atmos. Ciri sambungan disertakan termasuk 5G, WiFi 6, Bluetooth 5.4 dan NFC. Ia menjalankan sistem operasi HyperOS 3 berasaskan Adroid 16 sejurus keluar kotak.
Maklumat lanjut berkenaan spesifikasi boleh anda dapatkan menerusi laman produk Poco X8s.






