• English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Menu
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Search
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Menu
  • English
  • 中文版
  • Berita
  • Feature
    • Reviu Produk
    • Tips & Tricks
  • Telefon Pintar
  • Telco
  • Komponen PC
Search
Close
Home Berita

Honor Magic 9 Pro Max rasmi di Malaysia dengan dwikamera ARRI 200MP, harga RM5,999

  • OLEH Putra Aziz
  • 5:45 pm
  • 24/11/2026
  • Komen
Honor Magic 9 Pro Max rasmi di Malaysia dengan dwikamera ARRI 200MP, harga RM5,999
Share on FacebookShare on Twitter

Jika anda menanti-nantikan ketibaan Honor Magic 9 Pro Max, kini Honor rasmi melancarkannya untuk pasaran Malaysia. Model flagship baharu ini membawakan peningkatan pada bahagian kamera, dengan sistem dwikamera 200MP dibangunkan bersama ARRI, iaitu syarikat kamera terkenal dalam industri pembikinan filem profesional.

Selain peningkatan pada bahagian pengimejan, Magic 9 Pro Max turut hadir dengan bateri silikon-karbon lebih besar berkapasiti 8,000mAh, paparan dengan kecerahan puncak sehingga 10,000 nits serta cip Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 terbaharu.



Menariknya, Honor turut menawarkan pakej hadiah bernilai sehingga RM4,009 kepada pembeli yang membuat tempahan awal.

Harga dan ketersediaan Honor Magic 9 Pro Max di Malaysia

Honor menawarkan hanya satu varian untuk Magic 9 Pro Max, berbanding dua pada generasi sebelum ini. Berikut adalah harga jualan Magic 9 Pro Max di Malaysia:



  • RAM 12GB + storan 512GB – RM5,999

Telefon ini ditawarkan dalam tiga pilihan warna, iaitu hijau, perak dan hitam.

Tempahan awal kini dibuka sehingga 3 Disember 2026, manakala jualan rasmi akan bermula pada 4 Disember 2026.

Namun, mereka yang membuat tempahan awal layak menerima pakej hadiah bernilai sehingga RM4,009, termasuk rebat segera RM300, kupon Professional Imaging Kit bernilai RM300, sarung magnetik Swap Case serta pembesar suara Harman Kardon Aura Studio 5 secara percuma.

Pembeli awal juga akan menerima kelebihan perlindungan Honor VIP Magic Care+ berikut:

  • Perlindungan kerosakan cecair selama 1 tahun.
  • Perlindungan skrin selama 1 tahun.
  • Perlindungan penutup belakang selama 1 tahun.
  • Waranti lanjutan selama 1 tahun.
  • Perkhidmatan penggantian bateri selama 2 tahun.
  • Akses percuma Google AI Pro selama 3 bulan.

Berminat dengan Honor Magic 9 Pro Max? Anda boleh menempah atau membelinya melalui Honor Experience Store, kedai dalam talian Honor Malaysia, kedai rasmi Honor di Shopee, Lazada dan TikTok Shop, serta pengedar terpilih seperti Harvey Norman, Senheng, SenQ dan Urban Republic.

Selain itu, Honor turut menawarkan beberapa aksesori Professional Imaging Kit yang boleh dibeli secara berasingan.

Berikut ialah harga aksesori tersebut di Malaysia:

  • Honor Teleconverter G200: RM999 (RM699 selepas kupon)
  • Honor Teleconverter G500: RM1,899 (RM1,599 selepas kupon)
  • Honor SmallRig Mobile Video Kit: RM1,299

Sepanjang tempoh pra-tempahan, pembeli turut menerima kupon Professional Imaging Kit bernilai RM300. Kupon ini boleh digunakan untuk mendapatkan Teleconverter G200 pada harga RM699 atau Teleconverter G500 pada harga RM1,599.

Spesifikasi Honor Magic 9 Pro Max

Magic 9 Pro Max menggunakan panel OLED 6.8″ beresolusi FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Skrinnya menawarkan kecerahan puncak sehingga 10,000 nits dan PWM dimming sehingga 4320Hz. Menurut Honor, skrin ini turut menggunakan Honor Magic Diamond Screen dengan 5,600 lapisan perlindungan, yang didakwa lebih tahan calar sehingga 15 kali ganda dan lebih tahan impak jatuh sehingga 25 kali ganda.

Di bahagian dalam, telefon ini dikuasakan cip Qualcomm Snapdragon 8 Elite Extreme Gen 6 berteknologi 2nm, dipadankan dengan RAM LPDDR5X 12GB dan storan UFS 4.1 512GB. Honor mendakwa ia telefon pertama di Malaysia yang menggunakan platform Snapdragon 8 Elite Gen 6.

Tarikan utama Honor Magic9 Pro Max ialah sistem pengimejannya yang dibangunkan bersama ARRI. Ia menggunakan dua kamera 200MP, iaitu kamera utama dan kamera telefoto periskop, dengan kedua-duanya menyokong penstabilan CIPA 8.0.

Kamera utamanya menggunakan sensor 200MP bersaiz 1/1.28″ dengan apertur f/1.57 serta penstabilan imej optik (OIS). Sementara itu, kamera telefoto periskop 200MP menggunakan sensor lebih besar bersaiz 1/1.4″, apertur f/2.6 dan menyokong zum optikal 3.5x. Ia turut menggunakan teknologi TrueShift yang mengesan pergerakan sehingga 1,000 kali sesaat bagi membantu memastikan subjek kekal jelas, termasuk dalam keadaan kurang cahaya.

Kamera ketiga ialah lensa ultralebar 50MP dengan apertur f/2.0. Untuk swafoto pula, terdapat kamera hadapan 55MP dengan sensor segi empat sama bagi memberikan sudut pandangan lebih luas.

Selain perkakasan kamera, Honor juga membawa pemprosesan warna sinematik ARRI ke telefon ini, termasuk saluran pemprosesan video ARRI LogC3 dan 87 ARRI Looks yang membolehkan pengguna mengenakan pelbagai rawatan warna sinematik pada rakaman. Terdapat juga ARRI 4K LiveVideo, yang merakam detik tiga saat dalam gaya sinematik pada nisbah 2.39:1.

Bagi menyokong keupayaan pengimejan ini, Honor turut melengkapkannya dengan cip pengimejan khusus Imaging Chip H1 yang dibangunkan sendiri untuk memproses data gambar RAW daripada sensor kamera, selain membantu mengurangkan hingar pada rakaman video menggunakan teknologi AI.

Jika anda mahu zum lebih jauh, Honor turut menawarkan lensa teleconverter G200 dalam reka bentuk kompak dengan berat hanya 88g dan G500, dengan jarak fokus setara masing-masing 200mm dan 500mm.

Dari segi audio rakaman, Honor memperkenalkan mikrofon berarah gred sinematik dengan empat mod rakaman: Long Range, Close Up, Voice Isolation dan Voice Boost. Sistem audionya turut menggunakan dua pembesar suara 1216 bersama Honor AI Spatial Subwoofer, yang masing-masing menyokong pensijilan SGS untuk rakaman dan main balik audio.

Bateri Magic 9 Pro Max berkapasiti 8,000mAh,sama seperti versi yang ditawarkan di Hong Kong. Ia menyokong pengecasan pantas 100W melalui USB-C dan 80W secara tanpa wayar.

Dari segi sambungan, telefon ini dilengkapi cip Honor C3 RF Enhanced Chip untuk meningkatkan penerimaan isyarat, bersama dua cip penguat isyarat 5G dan empat cip penguat isyarat Wi-Fi. Ia juga mempunyai penarafan IP68, IP69 dan IP69K untuk ketahanan terhadap habuk dan air.

Sejurus dikeluarkan dari kotak, telefon ini menjalankan MagicOS 11 berasaskan Android 17. Antara ciri perisian yang disebut Honor ialah AI Deepfake Detection dan AI Voice Cloning Detection untuk membantu mengesan penipuan semasa panggilan, butang AI khusus, dan Honor Connect, yang membolehkan perkongsian fail dengan iPhone dan sambungan dengan Apple Watch serta AirPods.

Turut disertakan ialah Payment Trust Space yang mengimbas potensi risiko keselamatan apabila aplikasi pembayaran dibuka. Ia menyokong beberapa aplikasi popular seperti Touch ’n Go, Maybank, ShopeePay, Google Wallet, PayPal dan Wise.

Secara keseluruhan, berbanding Magic8 Pro, Magic9 Pro Max membawa peningkatan pada sistem kamera menerusi kerjasama ARRI dan penggunaan dua sensor 200MP. Ia turut hadir dengan bateri lebih besar, skrin yang lebih cerah, cip lebih baharu serta kamera swafoto 55MP dengan sensor berbentuk segi empat.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman produk Honor Magic 9 Pro Max.

Tags: honorHonor Magic 9 Pro Maxhonor malaysiaMagic 9 Pro Max
Putra Aziz

Putra Aziz

POPULAR

Honor Magic 9 Pro Max rasmi di Malaysia dengan dwikamera ARRI 200MP, harga RM5,999

Honor Magic 9 Pro Max rasmi di Malaysia dengan dwikamera ARRI 200MP, harga RM5,999

24 November 2026
Xiaomi 18 Pro & 18 Pro Max Malaysia: Kamera Leica 200MP, skrin OLED belakang, dari RM3,999

Xiaomi 18 Pro & 18 Pro Max Malaysia: Kamera Leica 200MP, skrin OLED belakang, dari RM3,999

18 November 2026
MySiren: Ujian amaran kecemasan seluruh negara berlangsung pada 29 November

MySiren: Ujian amaran kecemasan seluruh negara berlangsung pada 29 November

23 November 2026
Tune Talk peroleh lesen daripada MCMC untuk miliki dan kendalikan infrastruktur rangkaian

Tune Talk peroleh lesen daripada MCMC untuk miliki dan kendalikan infrastruktur rangkaian

22 November 2026
Vivo V80 tiba di Malaysia: Skrin 144Hz dan bateri 7,200mAh, harga dari RM2,399

Vivo V80 tiba di Malaysia: Skrin 144Hz dan bateri 7,200mAh, harga dari RM2,399

19 November 2026
Pas MyKomuter50: Pendaftaran kini dibuka, ini cara daftar dan aktifkannya

Pas MyKomuter50: Pendaftaran kini dibuka, ini cara daftar dan aktifkannya

16 November 2026

Copyright © 2026 · SoyaCincau.com
Mind Blow Sdn Bhd (1076827-P)

  • URUSAN PENGIKLANAN
  • PENAFIAN

Copyright © 2026 · SoyaCincau.com – Mind Blow Sdn Bhd (1076827-P)

  • URUSAN PENGIKLANAN
  • PENAFIAN