Oppo meraikan kedatangan filem Marvel terbaru, Avengers: Endgame dengan melancarkan satu telefon pintar edisi khas. Telefon edisi khas ini akan dilancarkan di Malaysia minggu depan, 24 April serentak dengan hari pertama tayangan filem tersebut.
Oppo F11 Pro dipilih sebagai model edisi terhad ini. Di belakang telefon, ia dihiasi dengan logo Avengers berlatarkan warna biru Avengers. Oppo menerangkan, edisi terhad ini akan datang dengan storan yang lebih besar dari biasa.
Jadi kita boleh jangka, lain-lain perkara adalah sama dengan Oppo F11 Pro edisi biasa, melainkan storannya mungkin digandakan ke 128GB. Oppo F11 Pro yang biasa dikuasakan oleh cip pemproses Mediatek Helio P70, RAM 6GB dan storan dalaman 64GB.
Harganya akan diumumkan semasa majlis pelancaran, pada 24 April 2019. Untuk perbandingan, Oppo F11 Pro 64GB kini dijual di Malaysia pada harga RM1,299. Memandangkan ia sebuah model edisi terhad, berkemungkinan ia akan datang dengan beberapa aksesori dan hadiah bertemakan Avengers: Endgame.
Selain itu, F11 Pro memiliki skrin tidak bertakuk berukuran 6.5-inci dengan resolusi HD Penuh+. Bateri sebesar 4,000mAh terdapat di dalamnya dan ia menyokong pengecasan pantas VOOC 3.0. Malangnya, ia masih menggunakan port mikroUSB, bukannya USB-C.
Oppo menekankan kehebatan kamera F11 Pro dengan kamera utamanya 48MP bersama kamera kedua 5MP. Ia boleh menangkap gambar dalam suasana bercahaya malap dengan lebih cerah. Untuk kamera hadapan, ia dilengkapi lensa 16MP di dalam modul kamera boleh sembunyi, seperti Vivo V15 Pro.
Menangi tiket tayangan perdana Avengers: Endgame
Dalam berita lain, SoyaCincau kini mengadakan peraduan dengan hadiah untuk menonton Avengers: Endgame pada hari pertama tayangan, 24 April 2019. Hadiah ini ditaja oleh Oppo Malaysia. Jika anda berminat untuk menjadi salah seorang dari 15 pemenang, segera ke Facebook SoyaCincau untuk menyertainya.