Setiap tahun, sudah tentu anda akan dihidangkan dengan produk telefon flagship yang diperkasa System-on-chip (SoC) terbaru. Dalam kalangan telefon flagship yang dijual sekarang, ada beberapa SoC flagship yang boleh anda jumpa:
- Qualcomm Snapdragon 855
- Apple Bionic A12
- Samsung Exynos 9820
- HiSilicon Kirin 980
SoC daripada Apple, Samsung, dan HiSilicon adalah eksklusif untuk produk yang dikeluarkan pengeluar masing-masing. Bionic A12 digunakan pada iPhone sahaja, Exynos 9820 pada siri Galaxy S dan Note sahaja manakala Kirin 980 untuk siri Mate dan P ataupun honor.
Pengeluar telefon lain seperti Sony, Xiaomi, HTC, dan sebagainya hanya ada produk dari Qualcomm ataupun MediaTek. Tapi, MediaTek sudah lama tertinggal dalam perlumbaan SoC flagship yang menjadikan Qualcomm adalah satu-satunya pilihan yang ada untuk pengeluar tersebut.
Dalam artikel ini, kita akan cuba membandingbezakan empat SoC flagship utama untuk tahun 2019. Tapi sebelum itu, satu asas yang kukuh perlu diwujudkan kita untuk melakukan perbandingan relatif.
Bagi tujuan tersebut, Snapdragon 855 adalah yang paling sesuai oleh sebab maklumat spesifikasinya yang lengkap boleh diperoleh dengan mudahnya di laman rasmi Qualcomm. Sesudah itu, kita akan lihat apakah beza SoC pengeluar lain dengan Snapdragon 855.
Kenali Qualcomm Snapdragon 855
Snapdragon 855 memiliki 8 teras Kryo berkelajuan sehingga 2.84 Ghz. Teras ini adalah yang dibangunkan sendiri Qualcomm berdasarkan ARM Cortex-A76. Pihak ARM membangunkan teras ini untuk memberikan prestasi sekelas teras Kaby Lake dari Intel.
Berbanding Snapdragon 845 sebelum ini, teras Kryo 855 memanfaatkan senibina DynamIQ dan bukan lagi big.LITTLE. Pada big.LITTLE, ada 4 teras Kryo 385 Gold dan 4 Teras 385 Silver yang menjadikan pembahagian terasnya agak seimbang.
Pada Snapdragon 855, pembahagian terasnya adalah 1 teras Kryo 485 Gold 2.84 Ghz, 3 teras Kryo 485 2.42 Ghz dan 4 teras Kryo 485 Silver. Di situ anda boleh lihat taburan teras yang tak seimbang.
Menurut Qualcomm, ia memastikan CPU beroperasi dalam keadaan optimum pada setiap masa. Tugasan berat akan diberikan pada teras berkuasa tinggi manakala tugas ringan akan diberikan pada teras berkelajuan rendah untuk penjimatan tenaga.
Pada bahagian GPU, ia menggunakan Adreno 640 yang menyokong API Vulkan 1.1. Berdasarkan hasil tanda aras yang dijalan pihak ketiga, GPU pada Snapdragon 855 hanya 17% dibelakang Intel HD Graphics 615 yang sedang digunakan pada CPU seperti Intel i7-7Y54 dalam ujian PassMark Mobile.
Telefon yang menggunakan Snapdragon 855 boleh menampung RAM sehingga 16 GB luasnya. Jenis modul yang digunakan ialah LPDDR4x, iaitu yang terbaik setakat ini dalam industri pada kelajuan 2,133Mhz.
LPDDR4x adalah modul RAM ini diperkenalkan oleh Samsung Semiconductor dalam tahun 2016 sebagai varian kepada LPDDR4. Ia lebih jimat tenaga dengan pengurangan voltan yang diperlukan untuk beroperasi.
Piawaian LPDDR4x agak berusia dan LPDDR5 sudahpun diumumkan dalam bulan Februari 2019 tetapi bilakah ia akan ditemui dalam telefon anda tidak pula diketahui.
Beralih pada fungsi ketersambungan, Snapdragon 855 menyokong capaian sehingga Wi-Fi 6. Secara teori, kelajuan WI-Fi 6 adalah 9.6 Gbps, 3.5 Gbps lebih pantas berbanding Wi-Fi 5Ghz sekarang. Tapi ia bergantung pada peralatan Wi-Fi anda.
Platform SD 855 menyokong 5G melalui modem Snapdragon X55. Tapi buat masa ini ia dilengkapi modem LTE Snapdragon X24. Ia boleh menampung kelajuan muat turun sehingga 2.0 Gbps serta muat naik sehingga 318 Mbps. Lebih daripada cukup untuk kegunaan seharian.
Kepentingan kamera kini jauh melebihi fungsi telefon itu sendiri sehinggakan ada pengeluar seperti Huawei bekerjasama dengan nama besar dalam industri optikal iaitu Leica.
Untuk pengimejan, Snapdragon 855 menyokong konfigurasi dwikamera sehingga 22MP ataupun ekakamera sehingga 48MP. Sebab itu bila anda mengaktifkan mode 48MP pada Xiaomi Mi9, anda tak boleh mengezum walaupun secara digital. Hal ini kerana CPU sudahpun berada di tahap maksimum daripada segi pemerosesan data dari sensor.
Bahagian terakhir yang penting adalah bateri. Flagship Qualcomm ini menyokong sistem pengecasan pantas QuickCharge QC 4.0+. Tapi ada pengeluar telefon yang berkeputusan untuk menggunakan kaedah pengecasan sendiri seperti OnePlus WarpCharge, ataupun OPPO VOOC.
Sekarang, kita dah ada asas yang mencukupi berkaitan CPU flagship 2019. Asas ini boleh kita gunakan untuk melakukan perbandingan secara relatif dengan produk-produk yang lain. Jadi di halaman sebelah, saya akan banding beza Snapdragon 855 dengan dua lagi CPU flagship terkemuka iaitu Exynos 9820 dan juga Kirin 980.
Perbandingan dengan Bionic A12, Exynos 9820 dan Kirin 980
CPU: DynamIQ berikan lebih kefleksibelan
Kesemua CPU flagship 2019 memanfaatkan DynamIQ sebaik mungkin. SD855 dan Kirin 980 menggunakan teras yang sama untuk kluster atas dan tengah dengan cara menurunkan clockspeed untuk kluster tengah. Exynos pula meletakkan tiga teras berbeza untuk setiap kluster. Bionic A12 pula sedikit unik kerana masih kekal di 6 teras.
SD855 dan Kirin 980 menggunakan teras yang sama untuk kluster atas dan tengah dengan cara menurunkan clockspeed untuk kluster tengah. Exynos pula meletakkan tiga ters berbeza untuk setiap kluster. Bionic A12 pula sedikit unik kerana masih kekal di 6 teras.
Kesemua SoC menggunakan kombinasi teras berbeza antara satu sama lain. Exynos guna kofigurasi 2+2+4, diikuti SD855 1+3+4 dan Kirin 980 dengan 2+2+4. Tapi, untuk teras bawah, mereka meletakkan 4 teras dengan kelajuan sekurang-kurangnya 1.85Ghz.
Bionic A12 meletakkan 4 teras 1.59 Ghz sebagai teras jimat tenanga. Walaupun ia paling perlahan dalam kalangan 3 SoC yang lain, ia mungkin menyumbang pada penjimatan bateri pada iPhone.
Teras bawah adalah tempat berlakunya pemerosesan data yang tak perlukan daya pengkomputeran yang tinggi seperti memantau sensor ataupun memproses bunyi. Sungguhpun menjalankan tugas remeh, ia adalah proses yang sentiasa berjalan dilatar telefin, ia boleh dijelaskan dengan kehadiran 4 teras bawah dalam setiap satu CPU ini.
GPU: Adreno 640 31% Lebih Baik Berbanding Mali-G76
GPU adalah tempat memproses maklumat imej sebelum dipaparkan. Kedua-dua Exynos 9820 dan Kirin 980 menggunakan GPU yang serupa iaitu Mali G-76 sebaliknya Snapdragon 855 menggunakan penyelesaian merka sendiri iaitu Adreno 640. Di kem Apple, mereka tidak menamakan GPU mereka.
Fakta menarik, Adreno adalah anagram kepada Radeon dan yag Adreno memang ada kaitan dengan AMD kerana Qualcomm membeli cabang peranti mudah alih dari AMD pada 2009.
Untuk membandingkan prestasi kedua-dua GPU ini, anda boleh rujuk laman notebookcheck.net, mereka sering lakukan perbandingan komprehensif CPU dan GPU. Mereka ada melagakan Mali G-76 dan Adreno 460.
Dalam siri ujian yang dijalankan mereka, Adreno 640 secara puratanya mencatatkan keputusan 31% lebih baik berbanding Mali-G76. Tapi, Adreno 640 tewas kepada GPU Bionic A12 sebanyak 23% secara purata.
RAM: LPDDR4x, Sudah Berusia Tapi Masih Utuh
Pada bahagian module RAM, kesemua produk menggunakan LPDDR4x sebagai modul memori dengan kelajuan 2,133Mhz. Di awal artikel ini saya ada mengatakan yang LPDDR4x lebih jimat tenaga.
Tapi, kapasiti terbesar yang ada untuk modul ini adalah 8GB. Maka, telefon yang ada RAM 12GB seperti Galaxy S10+ berkemungkinan besar menggunakan LPDDR4 biasa kerana modul 12GB LPDDR4x mula dikeluarkan selepas pengumuman Galaxy S10+.
LPDDR5 sudahpun menghampiri fasa pengkomersialan dan ramalan saya adalah sepanjang 2019, kita hanya akan dihidangkan dengan telefon berkapasiti RAM 8GB paling maksimum.
Ketersambungan: Modem 5G Kelihatan Tapi Tak Boleh Diguna
Dalam kalangan tiga SoC itu, hanya Snapdragon 855 ada varian yang mendukung modem 5G iaitu X55. Tapi ia bukanlah bermakna dua SoC lagi ketinggalan. Kalau adapun, ia masih tidak boleh digunakan kerana kebanyakkan telco global masih belum mengaktifkan servis 5G masing-masing.
Tapi daripada segi penyambungan lain, mereka adalah setara. Kesemua mereka boleh berhubung dengan rangkaian LTE berkepantasan sekurang-kurangnya 1Gbps dan menyokong Wi-Fi ac 5Ghz walaupun hanya Snapdragon 855 menyokong Wi-Fi 6 (Wi-Fi ax).
Penggunaan piawaian Bluetooth 5 kini semakin meluas dan kesemua SoC boleh disambungkan kepada gajet yang menyokongnya. Antara kelebihan Bluetooth 5 adalah penggunaan data yang lebih efisien disamping sambungan yang lebih utuh.
Bateri: Pengecasan Pantas
Mengisi bateri dengan kadar segera adalah kemestian untuk telefon masa ini. Sedang SoC menjadi semakin berkuasa dan dahagakan tenaga, kemajuan daripada segi teknologi bateri masih terkebelakang dan menjadi pengehad kepada hayat penggunaan telefon.
Selain meletakkan bateri berkapasiti besar tapi mengorbankan ergonomik telefon, pengeluar telefon turut menyertakan teknologi pengecasan pantas yang mengepam masuk tenaga dengan pantas tetapi selamat.
Hanya Snapdragon 855 memasarkan SoC mereka dengan pengecasan pantas terbina. Dua SoC lagi tidak pula menyenaraikan pengecasan pantas sebagai salah satu ciri SoC.
Namun, kita boleh lihat implementasi pengecasan pantas di luar SoC seperti SuperVOOC pada OPPO R17 Pro yang mengalirkan sehingga 50 Watt.
Kesimpulan
Untuk SoC flagship, anda boleh menjangkakan prestasi paling tinggi yang mampu diperloleh daripada setiap pengeluar.Melakukan perbandingan terus agak sukar untuk mencari siapa yang terbaik.
Salah satu kekangan untuk melakukan perbandingan secara terus adalah ketiadaan maklumat setara. Misalnya, Apple amat berahsia dengan spesifikasi teknikal produk mereka.
Halangan yang kedua adalah perbezaan sistem operasi antara Android dan iOS semasa melakukan ujian penanda aras. Sudah tentu markah akan dipengaruhi oleh kecekapan sistem operasi mengendalikan pemerosesan komputer.
Tapi, kita ada maklumat yang lengkap daripada segi clockspeed setiap SoC. Untuk teras berkuasa tinggi, Snapdragon 855 dengan teras Kryo 2.84Ghz adalah yang paling berkuasa. Daripada segi penjimatan tenaga, anda boleh lihat pada 4 teras Tempest Bionic A12 yang bekerja sepantas 1.59 Ghz, terendah berbanding yang lain.
Adakah anda setuju dengan rumusan perbandingan Snapdragon 855 dengan Exynos 9820 dan Kirin 980? Jika anda mahukan artikel yang sama tapi edisi SoC kelas pertengahan, jangan lupa turunkan cadangan anda di ruangan komen.