Anda beli TV Pintar semata-mata untuk pasang Netflix? Ternyata anda telah membazirkan potensi yang dimiliki oleh sebuah TV Pintar. Apa yang saya ingin tunjukkan pada anda adalah bagaimana strimkan kandungan dari telefon Android anda ke TV secara wayarles tanpa gunakan Internet.
Sekiranya anda berminat untuk mencuba, anda boleh muat turun APP yang bernama BubbleUPnP di Android Play Store. Ia adalah APP yang menyokong protokol Universal Plug & Play (UPnP).
Bagusnya APP BubbleUPnP adalah ia boleh jadi client dan ia juga boleh jadi server bergantung kepada keperluan anda. Dalam tutorial ini, Bubble UPnP akan jadi server yang akan menyalurkan kandungan yang ingin kita tonton ke TV (client).
Langkah paling awal yang perlu anda lakukan adalah untuk pastikan telefon dan TV anda berada dalam rangkaian yang sama. Contoh yang saya berikan ini adalah telefon dan TV bersambung ke rangkaian Wi-Fi yang sama, tapi ia juga boleh berfugnsi sekiranya nda gunakan kabel LAN untuk TV itu, asalahkan mereka bersambung ke gateway yang sama.
Sejurus melancarkan aplikasi BubbleUPnP, anda boleh pergi ke Setting>Local and Cloud, kemudian di bahagian Local Media Server, tick-kan pilihan Enable yang terletak di paling atas senarai tetapan.
Seterusnya, kita perlu berikan arahan pada APP untuk salurkan kandungan multimedia ke client. Dalam kes BubbleUPNP, ia menggunakan istilah renderer untuk merujuk pada client. Cari logo cast di BubbleUPnP dan anda akan dihidangkan dengan senarai peranti yang penyokong protokol UPnP/DLNA.
Sepatutnya anda akan temui TV anda dalam senarai itu dan jika tidak, anda mungkin perlu memeriksa tetapan TV ataupun periksa sama ada ia berada dalam rangkaian yang sama dengan telefon anda. Pilih TV anda sebagai renderer.
Langkah terakhir adalah cari kandungan yang ingin dimainkan. Anda boleh mainkan video, lagu, ataupun memaparkan gambar pada TV anda secara wayarles terus daripada telefon tanpa masalah.