Selain model terbaru dari siri VivoBook, Asus turut mengumumkan model komputer riba terbaru, ZenBook Pro Duo. Berbeza dengan model ZenBook Pro sebelum ini, ZenBook Pro Duo juga bakal hadir dengan rekaan dan spesifikasi yang lebih dasyat.
ZenBook Pro Duo tersebut dikuasai oleh cip Pemproses Generasi ke-9 Intel Core i9, digabungkan dengan RAM DDR4 sebesar 32GB. Ia tersedia dengan kad grafik NVIDIA GeForce RTX 2060, serta storan PCIe 3.0 x4 SSD sebesar 1TB.
Selain itu, ia juga terbina dengan Intel Wi-Fi 6 terbaru (802.11ax) membawa pengguna pengalaman kelajuan tanpa wayar ke peringkat seterusnya, untuk sambungan super lancar ke seluruh dunia.
ZenBook Pro Duo ini turut datang dengan skrin sentuh OLED 15.6 inci, beresolusi 4K ultra HD. Seolah-olah memiliki rekaan tanpa bingkai, ia memaparkan nisbah skrin-ke-badan sehingga 89%. Sekali gus, memberi pengguna lebih banyak skrin dan kurang gangguan.
Penambah baikan yang paling ketara pada model terbaru siri ZenBook Pro kali ini adalah ia terbina dengan skrin sentuh kedua yang terletak diatas papan kekunci. Memiliki saiz skrin sebesar 14 inci, ia berfungsi sama seperti standard skrin kedua dalam Windows.
Skrin kedua yang beresolusi 4K dengan kelebaran penuh itu juga membolehkan para pengguna menjalankan pelbagai aktiviti dalam masa serentak.
Namun, Asus masih lagi tidak mengumumkan harga dan tarikh pelacaran komputer riba tersebut. Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman rasmi Asus mengenai ZenBook Pro Duo ini.