Selain MacBook Air yang baru, Apple Malaysia kini turut mula menjual laptop MacBook Pro dengan harga lebih rendah dari model sebelumnya. MacBook Pro ini menampilkan Touch Bar dan Touch ID sebagai standard dalam semua model terbaru.
Model asas MacBook Pro 13″ kini menjalankan pemproses Intel Core i5 generasi ke-8, berkelajuan 1.4GHz dengan Turbo Boost sehingga 3.9GHz. Ia boleh digandingkan dengan RAM sehingga 16GB dan storan SSD sehingga 2TB.
Model sebelum ini, MacBook Pro 13″ tanpa Touch Bar menggunakan pemproses Intel Core i5 generasi ke-7, berkelajuan 2.3GHz dan Turbo Boost sehingga 3.6GHz. Pengguna diberi pilihan untuk mendapatkan kuasa pemproses Intel Core i7 generasi ke-8, berkelajuan 1.7GHz dengan Turbo Boost sehingga 4.5Ghz.
Laptop model baru ini masih mengekalkan skrin IPS Retina Display berukuran 13.3-inci dengan resolusi 2560×1600. Tetapi paparan ini kini memiliki teknologi TrueTone yang sama seperti di MacBook Air yang baru.
Papan kekunci MacBook Pro baru ini menggunakan kekunci Butterfly baru, yang diperkenalkan dalam MacBook Pro sebelum ini. Agak menyedihkan ia dilengkapi hanya 2 port Thunderbolt 3 USB-C, walaupun membawa nama Pro.
Harga Jualan
Terdapat dua warna ditawarkan dengan MacBook Pro baru ini, Space Gray dan Silver. Ia dijual dengan harga dan spesifikasi berikut:
- MacBook Pro 13″ (RAM 8GB + SSD 128GB) – RM5,499
- MacBook Pro 13″ (RAM 8GB + SSD 256GB) – RM6,299
Untuk perbandingan, harga MacBook Pro 13″ 128GB tanpa Touch Bar sebelum ini bermula dari RM5,999 iaitu RM500 lebih mahal. MacBook Pro 13″ yang baru ini sudah tersenarai di Stor Online Apple Malaysia tetapi masih belum boleh dibeli.
Jika anda seorang pelajar, anda boleh mendapatkannya dengan diskaun istimewa pelajar. MacBook Pro 13″ 128GB berharga hanya RM5,099 iaitu RM400 diskaun manakala MacBook Pro 13″ 256GB pula berharga RM5,899. Harga istimewa pelajar ini boleh didapati di ruangan Education di Stor Online Apple.