Selepas pelbagai petunjuk dan gambaran tersebar, akhirnya Honor 9X selamat dilancarkan hari ini. Seperti yang diketahui, dua model diperkenalkan iaitu Honor 9X dan Honor 9X Pro. Ia merupakan peranti kelas pertengahan premium dengan harga mampu milik.
Sebenarnya tidak banyak perbezaan antara Honor 9X dan Honor 9X Pro, melainkan pada kamera belakang serta tawaran RAM, storan dan warna.
Dari segi fizikal, ia sama dalam setiap sudut. Skrin Honor 9X dan 9X Pro dari jenis LCD HD Penuh+, berukuran 6.59-inci tanpa takuk dan lubang. Ini kerana ia menggunakan modul kamera pop-up untuk menyembunyikan kamera hadapan. Kamera hadapan ini menggunakan sensor 16MP dengan apertur F2.2.
Di dalam, kedua-dua telefon ini memiliki kuasa pemproses Kirin 810 7nm, yang memiliki markah AnTuTu lebih tinggi dari Snapdragon 730. Pengimbas capjari pula tidak terdapat di belakang, sebaliknya diletakkan di sisi, digabungkan dengan butang kuasa seperti di Honor 20.
Bateri sebesar 4,000mAh terdapat di dalam, dicas menggunakan port USB-C. Sayangnya, pengecas 10W diberikan untuk kedua-dua telefon ini dan tidak dinyatakan pula sebarang sokongan pengecas pantas.
Sistem operasi EMUI 9 berasaskan Android 9.0 Pie digunakan di Honor 9X dan 9X Pro. Ia juga menerima kad mikroSD sehingga 512GB untuk storan tambahan.
Untuk perbezaan pula, Honor 9X hanya ada dua kamera belakang iaitu kamera utama 48MP F1.8 dan kamera pengesan kedalaman 2MP. Honor 9X Pro pula ada tiga kamera belakang, gandingan kamera utama 48MP F1.8, kamera ultra lebar 8MP dan kamera pengesan kedalaman 2MP.
Kemasan unik gradien berbentuk X digunakan dibelakang telefon. Untuk warnanya, Honor 9X diberikan tiga warna iaitu merah, biru dan hitam. Bagi Honor 9X Pro pula, hanya ada dua warna iaitu ungu dan hitam.
Di RAM dan storan pula, Honor 9X dibekalkan dari serendah RAM 4GB dan 64GB storan sehingga RAM 6GB dan storan 128GB. Untuk versi Pro, hanya RAM 8GB ditawarkan dengan storan antara 128GB dan 256GB. Harga jualan kedua-dua telefon ini di China adalah seperti berikut:
- Honor 9X (RAM 4GB + Storan 64GB) – RMB1,399 (~RM837)
- Honor 9X (RAM 6GB + Storan 64GB) – RMB1,599 (~RM956)
- Honor 9X (RAM 6GB + Storan 128GB) – RMB1,899 (~RM1,136)
- Honor 9X Pro (RAM 8GB + Storan 128GB) – RMB2,199 (~RM1,315)
- Honor 9X Pro (RAM 8GB + Storan 256GB) – RMB2,399 (~RM1,435)
Satu perkara menarik yang kami temui ialah, harga Honor 9X ini adalah sama dengan Honor 8X semasa dilancarkan di China tahun lepas. Kemudian, ia tiba di Malaysia dan ditawarkan dengan RAM 4GB dan storan 128GB pada harga RM949 sahaja.
Adakah Honor Malaysia boleh mengulangi tawaran yang sama untuk Honor 9X dengan RAM 4GB dan storan 128GB kelak? Jika ya, ini boleh memberi saingan sengit dengan Realme 3 Pro yang dikuasakan Snapdragon 710, RAM 4GB dan storan 128GB yang kini berharga RM999.
Jika prestasi sahaja yang anda cari, Honor 9X boleh dikatakan setara dengan Mi 9T yang berkuasa Snapdragon 730. Walaupun Honor 9X banyak kelemahan dari segi pengecasan, kamera dan skrin, tetapi prestasi Kirin 810 dilihat sedikit baik dari Snapdragon 730, jika benar bak dikata AnTuTu.
Adakah anda sanggup menangguhkan pembelian Realme 3 Pro atau Mi 9T dan menanti Honor 9X tiba di Malaysia?