Pameran CES 2018 yang berlangsung di Las Vegas, Amerika Syarikat adalah satu platform yang sering digunakan Acer untuk memperkenalkan laptop baru mereka. Kali ini, mereka melancarkan 3 laptop baru di CES 2018 yang disasarkan untuk pengguna berbeza.
1. Acer Swift 7 (SF714-51T)
Mengekalkan takhta sebagai laptop ternipis di dunia, Acer Swift 7 (SF714-51T) yang baru adalah laptop yang lebih nipis dari sebelumnya. Ia kini setebal 8.98mm sahaja, tetapi masih memiliki prestasi tinggi.
Laptop ultra ringan ini menggunakan pemproses Intel Core i7 generasi ke-7, bersama 8GB RAM LPDDR3 serta storan SSD seluas 256GB. Ia dilengkapi slot kad sim nano, yang dikuasakan oleh cip Intel XMM 4G LTE untuk sambungan internet mudah alih. Ia juga menyokong teknologi eSIM.
Menggunakan badan besi aluminium, Acer Swift 7 ini memiliki skrin sentuh IPS 14-inci HD penuh dan dilapisi kaca Corning Gorilla Glass NBT. Papan kekuncinya memiliki lampu di belakang, mudah untuk menaip di sekitar pencahayaan malap. Baterinya boleh bertahan sehingga 10 jam lamanya.
Laptop Acer Swift 7 akan mula dipasarkan di Amerika Syarikat pada bulan Mac, pada harga USD1,699 (~RM6,781). Manakala Eropah, Asia dan Afrika (EMEA) akan mula dijual pada bulan April.
2. Acer Spin 3 (SP314-51)
Untuk mereka yang gemarkan versatiliti dalam laptop, Acer Spin 3 (SP314-51) boleh menjadi pilihan. Ia memiliki engsel yang membuatkan skrin boleh diputarkan 360-darjah, menjadikannya sebagai laptop, tablet, paparan dan sebagainya.
Acer mengemaskini Spin 3 dengan pemproses Intel Core generasi ke-8. Ia sangat jimat tenaga, memberikan Spin 3 jangka hayat bateri sehingga 12 jam lamanya. Spin 3 memiliki skrin sentuh IPS berukuran 14-inci dengan resolusi HD Penuh.
Laptop Acer Spin 3 akan mula dipasarkan di Amerika Syarikat pada bulan Februari, pada harga bermula dari USD599 (~RM2,390). Manakala Eropah, Asia dan Afrika (EMEA) akan mula dijual pada bulan Januari ini.
3. Acer Chromebook 11 (CB311-8HT/CB311-8H)
Menggunakan sistem operasi Chrome OS, Acer Chromebook 11 boleh memuat turun jutaan aplikasi menerusi Google Playstore. Ia adalah sebuah laptop yang senyap kerana tidak memiliki kipas untuk penyejukan. Ia juga sangat ringan, dengan berat hanya 1.1kg.
Menggunakan kuasa pemproses Intel Celereon, laptop ini memiliki jangka hayat bateri sehingga 10 jam. Ia disertakan RAM sebesar 4GB, dengan pilihan storan eMMC di antara 16GB atau 32GB.
Acer memperkenalkan Chromebook 11 dalam dua jenis paparan, skrin sentuh dan skrin tanpa sentuh. Skrin ini berukuran 11.6-inci dengan paparan IPS, serta resolusi HD 1366×768. Sebanyak 2 port USB3.0 dan 2 port USB-C, serta pembaca kad mikroSD terdapat pada Chromebook 11.
Laptop Acer Chromebook 11 akan mula dipasarkan di Amerika Syarikat pada bulan April, pada harga bermula dari USD249 (~RM993). Manakala Eropah, Asia dan Afrika (EMEA) akan mula dijual pada bulan Mac ini.