Salah satu perkara yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2020 ialah, nermula 1 Januari 2020 harga petrol RON95 akan diapungkan mengikut harga pasaran semasa, dan bantuan menerusi Program Subsidi Petrol (PSP) diperkenalkan. PSP disasarkan kepada golongan B40 dan M40 dengan bantuan yang berbeza.
Untuk golongan B40, PSP akan diberikan kepada mereka yang berdaftar di bawah skrim Bantuan Sara Hidup (BSH). Data mereka telah disemak dan pemilikan kenderaan mereka disahkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk kelayakan. Seramai 2.9 juta orang telah dikesan layak menerima bantuan PSP bagi golongan B40.
Orang ramai boleh menyemak kelayakan penerimaan PSP B40 bermula semalam, menerusi laman web PSP di alamat https://psp.kpdnhep.gov.my/
Buat masa ini, laman utamanya telah sedia untuk dilayari tetapi sistem semakannya masih tidak boleh digunakan.
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution, jika ada yang layak dan menyemak nama mereka tidak termasuk dalam senarai bantuan subsidi, boleh membuat permohonan baru. Proses permohonan baru ini akan diumumkan selepas cara permohonan dikenalpasti.
Penerima BSH yang layak tetapi masih belum mendaftar, boleh berbuat demikian di laman web https://bsh.hasil.gov.my/
Kelayakan Program Subsidi Petrol (PSP)
Menurut soalan lazim FAQ< subsidi petrol akan diberikan jika memiliki kenderaan seperti berikut:
- Kereta dengan enjin 1,600CC dan ke bawah
- Kereta dengan enjin melebihi 1,600CC dan berusia lebih 10 tahun
- Motorsikal dengan enjin 150CC dan ke bawah
- Motorsikal dengan enjin melebihi 1500CC dan berusia lebih 7 tahun
Kerajaan akan memberikan subsidi sebanyak RM30/bulan untuk kereta dan RM12/bulan untuk motorsikal. Jika memiliki lebih dari satu kereta atau motorsikal, subsidi akan diberi kepada tahap yang tertinggi untuk satu kenderaan sahaja.
Pemberian subsidi ini dikira berdasarkan penggunaan bulanan sejauh 1,500km atau 50km sehari. Menurut kiraan ini, ia bersamaan 100 liter untuk kereta dan 40 liter untuk motorsikal, pada kadar 30sen seliter.
Pemberian subsidi ini juga akan diberi setiap 4 bulan. Bermakna, pemilik kereta akan menerima RM120 setiap 4 bulan, manakala motorsikal RM48 setiap 4 bulan.
Seperkara lagi yang terdapat di dalam soalan lazim, subsidi tidak akan diberikan jika harga pasaran RON95 jatuh di bawah RM2/liter.
Bagaimana pula untuk M40
Bagi rakyat Malaysia dalam golongan M40, mereka akan menerima kad subsidi petrol yang akan diperkenalkan sekitar bulan Mac 2020. Dianggarkan terdapat 5 juta orang yang layak menerima subsidi ini dalam bentuk kad subsidi petrol Kad95.
Sumber: Malay Mail