YouTube merupakan saluran penstriman video paling popular di dunia. Ia boleh ditonton percuma tetapi dengan paparan iklan. Jika anda mahukan tontonan YouTube tanpa iklan, anda boleh melanggan YouTube Premium dan ia kini telah tiba di Malaysia.
YouTube Premium memberikan pelanggan tontonan YouTube tanpa iklan. Selain itu, ia juga membenarkan muat turun untuk disimpan di dalam peranti, agar boleh ditonton kemudian tanpa sambungan internet.
Malah, pengguna Premium juga boleh terus mendengar bunyi dari video YouTube walaupun sedang membuka aplikasi lain. Tanpa langganan Premium, apabila anda bertukar aplikasi, video akan berhenti dimainkan.
Jika anda melanggan YouTube Premium, anda juga akan menerima YouTube Music secara percuma. Ia adalah platform penstriman muzik seperti Spotify, dengan fungsi seperti memainkan lagu ketika membuka aplikasi lain atau semasa skrin dipadamkan, tiada iklan semasa mendengar lagu serta boleh dimuat turun untuk didengar tanpa sambungan internet.
Google juga menyatakan, langganan YouTube Premium turut mendapat YouTube Kids tanpa iklan serta fungsi muat turun bagi menonton tanpa sambungan internet, juga langganan Google Play Music percuma.
Kadar langganan YouTube Premium dan Music adalah seperti berikut:
- YouTube Premium + Music = RM17.90/bulan
- YouTube Music = RM14.90/bulan
- YouTube Premium Family (1+5 pengguna) = RM26.90/bulan
- YouTube Music Family (1+5 pengguna) = RM22.90/bulan
Dari kadar di atas, anda boleh memilih untuk melanggan Premium bersama Music, atau Music sahaja. Mahu lebih jimat, daftar pelan Premium Family yang boleh menambah sehingga 5 akaun keluarga lain. Menurut Google, untuk pelan Family, pengguna harus tinggal di alamat yang sama, syarat yang serupa dengan pelan Spotify Family.
- YouTube Premium iOS = RM23.90/bulan
- YouTube Music iOS = RM19.90/bulan
- YouTube Premium Family iOS (1+5 pengguna) = RM35.90/bulan
- YouTube Music Family iOS (1+5 pengguna) = RM29.90/bulan
Tetapi terdapat perbezaan kadar jika anda melanggan menerusi peranti iOS. Perkara ini berlaku kerana kadar pembayaran menerusi iTunes menjadikannya berbeza harga. Jadi kami cadangkan, untuk pengguna iOS yang berminat untuk melanggan YouTube Premium, langgan menerusi pelayar Safari atau Chrome agar bayaran dibuat menerusi Google. Jadi boleh dapat harga Google.
Sebagai pengenalan juga, pengguna boleh menikmati tempoh cubaan percuma selama 1-bulan sebelum mula membayar. Tetapi kami melihat terdapat perbezaan tempoh percuma ni.
Dalam 1 akaun, kami menerima 4-bulan tempoh percuma. Dalam akaun yang lain, ia menerima 2-bulan tempoh percuma. Kami belum dapat memastikan kenapa dan sudah mengajukan soalan kepada Google Malaysia mengenainya.
Kepada yang mahu melanggan, boleh layari laman web www.youtube.com/premium atau www.youtube.com/musicpremium untuk mula mendaftar langganan YouTube Premium atau YouTube Music.