Kurang daripada dua minggu kita akan melangkah ke dekad yang baru. Tahun 2020 tentunya akan rancak dengan teknologi baru terutamanya IoT dan kecerdasan buatan. Sebelum pergi ke dekad tersebut jom kita imbas gajet menarik dalam dekad ini.
Menurut majalah TIME, inilah dia 10 gajet terbaik sepanjang dekad 2010.
Apple iPad (2010)
Seperti iPhone 2007, iPad juga mencetuskan fenomena tablet tanpa butang kawalan yang jadi ikutan sehingga hari ini. Ia mewarisi teknologi iPhone terutamanya pada panel paparan peka multisentuh. Rekaan minimalistiknya telah jadikan pengkomputeran dalam bentuk tablet jadi lebih mudah diakses orang kebanyakan.
Hasilnya, hampir semua tablet Android hari ini ada iras-ras iPad.
Tesla Model S (2012)
Sewaktu diperkenalkan, kereta elektrik sepenuhnya ini nampak seperti pengangkutan 2020 berbanding 2012. Uniknya Model S berbanding kereta elektrik lain adalah ia pembasmian sepenuhnya enjin pembakaran dalam tradisional sebaliknya digantikan dengan motor elektrik pada setiap satu tayarnya.
Secara ringkasnya, Tesla telah membangunkan semula rekaan kereta yang telah berusia seabad.
Raspberry Pi (2012)
Niat asalnya adalah untuk menjadi sebuah komputer ringkas untuk membantu orang belajar pengaturcaraan. Tanpa disedari, Raspberry Pi meletup menjadi komputer papan tunggal paling murah dan mudah diakses. Dengannya, potensi yang boleh anda perah adalah tanpa had, daripada bermain hinggalah menggodam.
Di Malaysia, Raspberry Pi boleh didapati pada harga kurang daripada RM50.
Google Chromecast (2013)
Google Chromecast adalah yang pertama seumpamanya. Berbentuk seperti pemacu kilat, ia boleh menarik kandungan multimedia daripada Internet untuk disiarkan di kaca TV anda. Bagusnya produk ini adalah ia memanfaatkan kemudahan navigasi menggunakan telefon anda untuk cari kandungan dan hanya menggunakan TV sebagai medium memaparkan kandungan.
Tanpa Chromecast, anda perlu gunakan papan kekunci atas skrin TV dan navigasi abjad satu persatu mengunakan alat kawalan TV.
DJI Phantom (2013)
Dilancarkan dalam tahun 2013, ini adalah kuadkopter berkamera pertama yang boleh didapati oleh pengguna biasa. Hasilnya, produk ini membuka lembaran baru terutamanya dalam industri perfileman amatur. Anda boleh perasan yang YouTube kini dibanjiri video-video yang diambil daripada atas dan semua ini dimungkinkan oleh DJI.
Boleh didapati pengguna kebanyakan adalah satu perkara, tapi cara pengendaliannya yang supermudah ini boleh jadikan sesiapa saja pengarah filem. Itulah kunci kejayaan kuadkopter daripada DJI ini.
Amazon Echo (2014)
Amazon Echo hanya popular di Amerika sana sebab di sana saja ada servis tersebut. Di Malaysia, kita boleh gunakan Google Home Mini. Kedua-dua mereka adalah speaker pintar yang berhubung dengan pembantu maya. Anda boleh gunakannya untuk bertanyakan maklumat am seperti cuaca, waktu, tetapkan alarm, dan sebagainya.
Spotify juga boleh di-cast melaluinya jika anda ingin gunakannya untuk berhibur.
Apple Watch (2015)
Apple masih dengan falsafah mereka iaitu “less is more” telah memperkenalkan Apple Watch dalam tahun 2015. Kalau anda tengok jam tangan G-Shock yang sarat dengan butang dan berlekuk-lekuk, Apple Watch cumalah paparan dengan satu butang di bahagian kanan mukanya.
Rekaannya sangat ikonik sehinggakan Xiaomi pun menirunya. Lebih menarik, Apple Watch adalah satu-satunya jam tangan pintar yang ada storan dalaman 8GB ketika itu, untuk digunakan sebagai ruang penyimpan sistem operasi.
Tapi satu saja rungutan tentangnya iaitu, hayat bateri yang agak pendek.
Apple Airpods (2016)
Earfon TWS pertama dunia diperkenalkan dalam tahun 2015 oleh syarikat daripada Jepun, Onkyo di IFA. Apple mengambil idea itu dan menyempurnakannya melalui AirPods yang diumumkan dalam bulan Disember 2016.
AirPods menampilkan earfone dengan mikrofon terbina untuk menyaring hingar daripada keliling dan juga meneru pembantu maya Siri. Pada bahagian batangnya ada permukaan peka sentuhan yang boleh diguna untuk mengawal muzik dan sebagainya.
Nintendo Switch (2017)
Daripada generasi ke generasi, Nintendo adalah satu-satunya pengeluar konsol permainan yang terus hadir dengan sesuatu yang segar berbanding menambah baik apa yang sedia ada. Nintendo Switch adalah salah saut daripadanya kerana ini bukanlah konsol permainan statik, ia juga boleh berubah menjadi konsol permainan mudah alih.
Sejak dilancarkan sehingga kini, sejumlah 39.7 juta unit sudahpun dijual untuk jadikannya konsol paling pantas terjual dalam sejara permainan.
Samsung Galaxy Note (2011)
Entri yang terakhir ini bukanlah daripada TIME tapi pendapat peribadi kerana di tempat ke-10 ini mereka meletakkan Xbox Adaptive Controller yang hampir mustahil untuk didapati di Malaysia. Sebaliknya saya menggantikannya dengan Samsung Galaxy Note.
Siri ini diumumkan dalam tahun 2011, apabila semua pengeluar menjadikan iPhone sebagai gold standard dalam penghasilan telefon dan 3.5″ adalah saiz yang sempurna, menurut mendiang Steve Jobs. Tanpa mengendahkannya, Galaxy Note pertama ada panel paparan 5.3″, saiz yang tak pernah dikeluarkan oleh sesiapa sebelum ini.
Sekarang lihatlah kedudukan Galaxy Note selaku telefon flagship.
Sumber: TIME