Jika anda memiliki Smart Battery Case yang dikeluarkan oleh Apple sendiri, maka anda perlu menyemak sama ada unit anda termasuk di dalam senarai yang bermasalah ini. Ini kerana Apple telah mengeluarkan notis mengenai program penggantian untuk Smart Battery Case mereka.
Menurut Apple, Smart Battery Case yang mengalami masalah ini adalah untuk model iPhone XS, iPhone XS Max dan iPhone XR sahaja. Ia dihasilkan di antara Januari hingga Oktober 2019. Pengguna mungkin mengalami beberapa masalah seperti:
- Case tidak dicas
- Case dicas tidak menentu
- Case tidak mengecas iPhone
- Case mengecas iPhone tidak menentu
Tambah Apple lagi, masalah ini bukanlah berkaitan keselamatan dan semua Smart Battery Case yang terlibat boleh digantikan secara percuma. Program penggantian ini adalah untuk Smart Battery Case bagi iPhone XS, iPhone XS Max dan iPhone XR sahaja, tidak melibatkan model lain.
Jika unit anda adalah termasuk dalam senarai yang disebut di atas, anda disarankan untuk menghubungi Pusat Servis Apple Berdaftar berhampiran. Ia akan diperiksa terlebih dahulu untuk disahkan sama ada layak untuk digantikan secara percuma.
iPhone Smart Battery Case dijual pada harga RM539 dan menyokong pengecasan pantas serta pengecasan wayarles Qi. Jika anda memiliki case ini, segera menyemak tarikh pengeluarannya dan bawanya ke pusat servis untuk disemak segera.
Sumber: Apple