Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini membentangkan Pakej Ransangan Ekonomi 2020 ‘Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan‘, bagi meningkatkan semula ekonomi dalam negara yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19 ke seluruh dunia. Penularan wabak ini telah memberi kesan besar kepada ekonomi terutama sekali sektor pelancongan, akibat pengurangan mendadak pelancong luar negara ke Malaysia.
Banyak perkara yang diumumkan Tun Dr Mahathir tetapi kami akan kongsikan beberapa perkara yang akan sampai terus kepada individu, terutama berkaitan teknologi.
1. Mengurangkan Beban Pinjaman Bank
Bagi pinjaman bank, Perdana Menteri meminta semua bank mengurangkan beban kewangan dalam bentuk penangguhan bayaran atau penjadualan semula pinjaman. Pelaksanaannya akan dipantau Bank Negara Malaysia (BNM).
2. RM600 untuk pemandu teksi, bas, beca & pelancong
Untuk pemandu teksi, pemandu bas persiaran dan pemandu pelancong dan penarik beca yang berdaftar, kerajaan akan memberikan bantuan secara one-off sebanyak RM600. Ia bagi menampung pendapatan yang berkurangan akibat kadar ketibaan pelancong yang berkurangan.
3. Elaun khas pegawai perubatan dan imigresen
Khusus buat petugas awam barisan hadapan yang menangani COVID-19, elaun khas RM400 sebulan kepada doktor dan kakitangan perubatan, serta RM200 kepada Imigresen dan kakitangan lain yang terlibat diberikan, berkuatkuasa Februari 2020 hingga wabak ini berakhir.
4. Baucer pelancongan dan pelepasan cukai RM1,000
Kerajaan mahu merancakkan semula sektor pelancongan dalam negara. Rakyat Malaysia akan diberi baucer digital sehingga RM100 seorang untuk penerbangan domestik, keretapi dan penginapan di hotel berlesen dalam negara. Kerajaan juga akan melonggarkan arahan mengehadkan penggunaan hotel oleh agensi kerajaan. Bagi cukai pendapatan, pelepasan sebanyak RM1,000 dibolehkan untuk perbelanjaan pelancongan domestik.
5. Caruman minima KWSP 7%
Bagi memberikan lebih tunai dalam tangan rakyat, kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan sebanyak 4%, iaitu daripada 11% kepada 7% sahaja. Ini bermakna, RM10 bilion akan kekal di tangan pencarum sehingga akhir tahun ini.
6. Bantuan BSH ditambah RM150 dan dicepatkan ke Mei
Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) pula akan menerima tambahan RM150 pada bulan Mei, dalam bentuk RM100 dikreditkan terus ke dalam akaun bank dan RM50 secara e-tunai. Manakala bayaran ansuran BSH bulan Mei sebanyak RM200, akan dipercepatkan ke bulan Mac.
Secara keseluruhan, kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM20 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 bagi memastikan risiko ekonomi berkaitan penularan wabak COVID-19 ketika ini dapat ditangani dengan berkesan.
Sumber: Bernama