Tidak lama lagi, sensor cap jari dalam paparan mungkin tidak lagi menjadi fungsi istimewa untuk telefon pintar dengan skrin OLED. Khabarnya, pasukan penyelidikan dan pembangunan syarikat Redmi (anak syarikat Xiaomi) telah menyelesaikan masalah pemasangan sensor cap jari ini di skrin LCD.
Ini menandakan bahawa telefon yang lebih murah akan menerima ciri keselamatan biometrik ini pada masa akan datang. Betul ke?
Hal ini dikongsi sendiri oleh Pengurus Besar Jenama Telefon Redmi, Lu Weibing, menerusi satu status yang dimuat naik di platform media sosial Sina Weibo pada 9 Mac 2020.
Weibing menjelaskan, sebelum ini telefon dengan skrin LCD tidak boleh dilengkapi dengan fungsi sensor cap jari dalam paparan kerana ketebalan panel dan modul backlight.
Oleh yang demikian telefon pintar dengan skrin LCD, biasanya ia mempunyai sensor cap jari belakang atau sisi seperti kebanyakan peranti.
Tulisnya, prinsip sistem cap jari skrin semata-mata untuk merekod ciri-ciri cap jari dan menyalurkan data berkenaan kembali ke sensor di bawah skrin. Ia bertujuan untuk menentukan sama ada ia bersamaan dengan cap jari awal pengguna.
Walau bagaimanapun, kerana sensor cap jari berada di bawah skrin, perlu ada saluran untuk menghantar isyarat optik atau ultrasonic. Ia mengakibatkan pelaksanaan semasa hanya pada skrin OLED.
Weibing menambah, Redmi, telah menggunakan filem inframerah bertransmisi tinggi untuk membolehkan cahaya melewati skrin LCD dan ke sensor cap jari.
Penggunaan filem berkenaan meningkatkan transmisi cahaya inframerah yang tidak dapat melalui skrin. Pemancar inframerah yang terletak di bahagian bawah skrin memancarkan cahaya inframerah.
Selepas cap jari dikesan, ia menembusi skrin dan memancarkannya pada sensor untuk melengkapkan pengesahan cap jari. Sistem ini membolehkan skrin LCD mengadaptasi konsep sensor cap jari dalam paparan.
Meskipun penemuan ini merupakan berita gembira buat Redmi, Weibing bagaimanapun tidak menyatakan tentang bila telefon pertama dengan sensor cap jari LCD yang baru akan dihasilkan.
Jadi anda teruja atau tidak dengan penemuan terbaru oleh pasukan Redmi ini? Konsepnya, mungkin tidak lama lagi semua boleh bergaya scan cap jari di skrin depan telefon berharga RM 500.
Sumber: Digital Trends, Lu Weibing