YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin hari ini telah mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi atau Economic Action Council (EAC) di Putrajaya. Kerajaan akan memastikan pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 (PRE2020) seperti yang telah diumumkan 27 Februari 2020.
Salah satu langkah tambahan yang diumumkan dari mesyuarat pertama EAC ini ialah bantuan kewangan bagi membantu pekerja yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji. Sebanyak RM600 akan diberikan kepada setiap pekerja setiap bulan, untuk tempoh maksimum 6 bulan.
Perdana Menteri berkata, mereka yang layak menerima bantuan itu adalah pekerja yang diberi notis tanpa gaji mulai 1 Mac 2020. Beliau juga menyatakan, bantuan ini layak untuk pencarum Sistem Insurans Pekerjaan (EIS) dengan gaji tidak melebihi RM4,000 sebulan.
Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM120 juta untuk bantuan ini dan dijangka seramai 33,000 pekerja akan menerima faedah dari bantuan ini.
Perkara ini susulan beberapa syarikat yang telah meminta pekerja mengambil cuti tanpa gaji ekoran impak COVID-19 terhadap perniagaan, terutama sektor pelancongan. Antaranya, Malaysia Airlines menawarkan pilihan cuti tanpa gaji kepada 13,000 kakitangannya berkuatkuasa bulan depan. Di Malindo Airlines pula, kakitangan diminta bercuti tanpa gaji dan potongan gaji 50 peratus.
Buat masa ini, kerajaan masih belum mengumumkan langkah penting untuk berhadapan dengan peningkatan drastik wabak COVID-19 di Malaysia. Beliau akan membuat satu pengumuman penting pada pukul 9 malam ini untuk membentangkan langkah kerajaan untuk berhadapan dengan wabak COVID-19 selepas ini.
Sumber: Berita Harian