Samsung hari ini mengumumkan akan membawakan fungsi inovatif serba baru di siri Galaxy S20, kepada telefon pintar siri Galaxy S10 dan Galaxy Note 10. Fungsi ini akan tersedia menerusi kemaskini perisian akan datang yang mula diedarkan penghujung bulan ini.
Perkara terbesar yang akan dibawakan adalah pada bahagian kamera. Antara perkara yang boleh dinantikan pengguna Galaxy S10 dan Galaxy Note 10 kelak adalah:
1. Single Take
Fungsi menangkap gambar dan video pelbagai ini akan memberi sampel beberapa yang terbaik untuk dipilih pengguna. Single Take memudahkan pengguna menangkap gambar dalam sudut berbeza dengan satu klik sahaja.
2. Night Mode
Mod tangkapan malam dipertingkat dengan tambahan mod Night Hyperlapse. Ia membolehkan pengguna menangkap lebih banyak gambar dan video mengagumkan walau di dalam suasana malap.
3. Penapis buatan sendiri
Selepas mengambil gambar, Custom Filter membenarkan pengguna untuk mencipta penapis gambar sendiri menggunakan warna dan gaya pilihan pengguna. Dengan ini, pengguna boleh mengguna semula penapis buatan sendiri ini dengan mudah di masa akan datang.
4. Pro Video
Bagi penggemar rakaman video, fungsi Pro Video memberi lebih pilihan dalam kawalan merakam video seperti mengubah tetapan ISO, kelajuan pengatup, dan tahap pendedahan. Ia juga boleh diubah antara kamera belakang dan hadapan semasa merakam video.
5. Galeri gambar pintar
Selain kamera, galeri gambar juga diperbaharui yang membantu menyusun kandungan gambar secara pintar dengan teknologi AI. Aktifkan fungsi Clean View di aplikasi Gallery dan ia akan mengumpulkan gambar yang sama di dalam satu kumpulan. Dengan ini, pengguna boleh mencari gambar yang serupa lebih cepat.
6. Quick Crop
Lagi penambahbaikan di Gallery. Semasa meneliti gambar-gambar di Gallery, tekan Quick Crop yang terletak di sudut atas kiri dan memotong gambar kepada saiz yang diingini.
7. Perkongsian lebih mudah
Pelbagai kandungan boleh dikongsi dengan cepat dan mudah menggunakan Quick Share. Hanya aktifkan di ruangan menu dan ia akan mengimbas pengguna Quick Share lain yang berhampiran. Pelbagai fail seperti gambar, video yang bersaiz besar akan dihantar dengan pantas. Menggunakan Music Share pula, pengguna boleh berkongsi sambungan Bluetooth kepada rakan lain, jadi rakan anda tidak perlu menyambungkan peranti kepada speaker atau radio di kereta sendiri.
Sumber: Samsung