Pelbagai langkah kini sedang diambil pelbagai pihak terutamanya daripada segi inovasi bagi membasmi COVID-19. Salah satu daripadanya adalah “terowong nyahkuman” yang menyembur cecair antikuman pada pengguna yang melaluinya.
Namun, di pihak KKM, mereka masih belum cukup pasti untuk menyarankan penggunaan mesin ini dalam situasi COVID-19 sekarang. Hal ini kerana, pihak mereka masih tidak miliki data yang cukup untuk mengesahkan yang terowong ini berkesan untuk hapuskan virus yang hinggap pada badan pengguna.
Pihak WHO sendiri tidak menyarankan menyembur alkohol ataupun klorin ke seluruh badan untuk membunuh COVID-19. Memang cecair itu diguna dalam cecair nyahkuman tangan dan permukaan, tapi jika disembur ke seluruh badan, ia boleh memudaratkan organ tertentu seperti mulut dan mata.
Tidaklah memelikkan kenapa KKM mengambil langkah konservatif ini kerana terdapat banyak versi terowong ini ada di pasaran sekarang. Ada yang berharga RM500 sehingga ribuan ringgit. Cecair nyahkuman yang digunakan juga ada pelbagai jenama, kepekatan dan sebagainya.
Untuk berikan satu keputusan meliputi semua inovasi ini agak sukar kerana jika terjadi apa-apa kelak, nama KKM juga akan tercalar. Apa yang KKM sarankan buat masa ini adalah dua, penjarakan sosial dan juga amalan kebersihan tangan yang optimum.
Sumber: MalayMail