iPhone SE (2020) adalah telefon iPhone baru termurah yang boleh anda perolehi dalam tahun 2020. Pada harga bermula RM1,999, sudah tentu pengguna yang tersangkut dengan model sebelum iPhone X ingin naik taraf peranti masing-masing.
Ia murah bukan sebarang murah kerana ramai penganalisis mengatakan yang telefon ini dikitar semula daripada iPhone 8 dan bezanya cumalah CPU Bionic A13 yang terpateri atas papan induk telefon ini. Untuk buktikannya, ada video daripada China memaparkan seseorang menguraikan telefon ini dan bandingkannya dengan iPhone 8.
Sejurus paparan diangkat, susun atur komponen antara kedua-dua telefon adalah sama sehinggakan pada kedudukan skru.
Antara perkara menarik yang ditemui adalah slot sim kini ada gelang getah untuk tujuan kalis air dan debu. Kemudian, dia pindah silang paparan iPhone SE (2020) kepada iPhone 8 dan telefon boleh dihidupkan.
Kemudian, dia pindah silang papan induk iPhone 8 masuk ke SE (2020). Dia terpaksa gunakan bateri iPhone SE (2020) juga kerana walaupaun dimensinya sama, penyambung bateri model terbaharu ini adalah sama seperti iPhone 11.
Walaupun telefon berjaya dihidupkan, kamera depan dan belakang serta lampu LED tidak boleh dihidupkan. Itu sajalah masalah yang dia temui bila lakukan beberapa pindah silang komponen antara dua model tersebut.
Walaupun secara asasknya Apple mengitar semula iPhone 8, tapi penggunaan SoC Bionic A13 adalah signifikan kerana ia memberikan nyawa baru dan boleh berkhidmat untuk beberapa tahun yang akan datang tanpa masalah komponen lapuk.