Kerajaan telah meluluskan kebenaran buat 174 rumah ibadat bukan islam untuk beroperasi semula mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) Ibadat Dalam Zon Hijau bermula 10 Jun 2020.
Perkara berkenaan diputuskan di dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan pada 21 Mei 2020.
Berdasarkan kenyataan Kementerian Perpaduan Negara (KPN), pelaksanaan SOP untuk operasi rumah ibadat termasuk hanya menerima bilangan kehadiran maksimum 30 orang. Jumlah pengunjung juga tertakluk kepada saiz keluasan rumah ibadat.
Hanya rumah ibadat yang permohonannya diluluskan sahaja dibenarkan untuk dibuka kepada penganut mereka, mengikut hari dan masa beroperasi yang dibenarkan.
Antara rumah ibadat yang dibenarkan beroperasi merupakan kendalian bawah badan agama berikut:
- Fo Guang Shan
- Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur
- National Evangelical Christian Fellowship Malaysia
- Malaysia Hindu Sangam
- Majlis Gurdwara Malaysia
- Persekutuan Pertubuhan Tao Malaysia
Untuk memohon kelulusan operasi semula rumah ibadat pengurusan, proses permohonan adalah seperti berikut:
- Salurkan permohonan kepada badan agama masing-masing
- Badan agama akan menyalurkan permohonan tersebut kepada KPN (mengikut prosedur yang ditetapkan selepas 10 Jun 2020)
- Pihak kementerian akan meneliti permohonan dan mempertimbangkan kelulusan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri dari semasa ke semasa
Sementara itu, berhubung hal ehwal perkahwinan di kuil, gereja dan persatuan agama, KPN menjelaskan bahawa urusan berkenaan ditangguhkan hingga 31 Julai 2020. Perkara berkenaan turut dinyatakan dalam surat Ketua Pengarah Pendaftaran Negara bertarikh 12 Mei 2020.
Terdahulu, kerajaan telah membenarkan masjid, surau Jumaat dan surau terpilih di dalam zon hijau di Wilayah Persekutuan, untuk melaksanakan solat berjemaah di zon hijau bermula 15 Mei 2020.
Kebenaran diberikan dengan syarat jumlah jemaah tidak melebihi 30 orang. Ia juga tertakluk kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja manakala, di negeri lain diumumkan oleh Pihak berkuasa Agama Negeri masing-masing.
Sumber: The Star