Kerajaan Amerika Syarikat (AS) pada awal minggu ini, telah bersetuju untuk meminda arahan sekatan yang dikenakan kepada Huawei. Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Perdagangan AS, Wilbur Ross kepada Reuters.
Bagaimanapun, pindaan ini hanya untuk membenarkan syarikat dari AS untuk berurusan dengan Huawei, dalam menetapkan standard rangkaian 5G sahaja. Menurut Jabatan Perdagangan AS, penyertaan AS dalam menetapkan standard 5G adalah penting kerana ia akan mempengaruhi masa hadapan 5G, termasuk pemanduan autonomi, kecerdasan pintar dan pelbagai lagi teknologi canggih.
Ross menegaskan, AS tidak akan menyerahkan kepemimpinan dalam inovasi antarabangsa. Jabatan beliau komited untuk melindungi keselamatan negara dan kepentingan luar negeri, dengan mendorong industri AS untuk terlibat sepenuhnya dan menjadikan teknologi AS sebagai standard antarabangsa.
Sejak bulan Mei tahun lepas, kerajaan Donald Trump telah meletakkan Huawei di dalam senarai entiti, yang melarang mana-mana syarikat AS dari berurusan dengan Huawei tanpa kebenaran. Larangan ini dikeluarkan kerana AS percaya Huawei mengancam keselamatan negara, tanpa menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku.
Pindaan kelonggaran yang membenarkan kerjasama industri AS dan Huawei, bukanlah untuk memberi peluang kepada Huawei. Sebaliknya ia hanyalah untuk memastikan industri AS terus menjadi peneraju teknologi 5G, dengan menetapkan standard antarabangsa bersama salah satu syarikat penyedia 5G terbesar di dunia, iaitu Huawei.
Sumber: Android Authority, Reuters