Xiaomi Malaysia hari ini mengisytiharkan ketibaan dua telefon pintar super murah terbaru, dikenali sebagai Redmi 9A dan Redmi 9C. Kedua-dua telefon ini memiliki kuasa pemproses dan kamera berbeza, tetapi ada skrin, bateri, RAM dan storan yang sama besar.
Redmi 9A akan mula dijual pada 7 Julai akan datang, secara eksklusif di jualan 7.7 Lazada Flash Sale. Manakala Redmi 9C boleh didapati di Malaysia pada penghujung bulan Julai 2020. Harga jualan kedua-dua peranti baru ini adalah seperti berikut:
- Redmi 9A (RAM 2GB + Storan 32GB) – RM359
- Redmi 9A (RAM 2GB + Storan 32GB) – RM429
Ketibaan dua model baru ini melengkapkan ahli tiga beradik Redmi 9, di mana telefon pintar Redmi 9 telah dilancar lebih awal pada harga bermula dari RM499, datang bersama RAM 3GB dan storan 32GB.
Redmi 9A
Telefon pintar termurah dari Xiaomi ini kini menggunakan cip terbaru Mediatek Helio G25, dilihat sebagai telefon pintar pertama di dunia yang menggunakanya. RAM sebanyak 2GB terdapat di dalamnya bersama storan seluas 32GB.
Skrinnya dari jenis LCD bertakuk, berukuran 6.53-inci pada resolusi HD+ sahaja. Bateri di dalamnya agak besar, berkapasiti 5,000mAh. Dari gambar yang dimuat naik, tidak kelihatan pengimbas capjari padanya.
Untuk kamera, ia hanya ada satu kamera di belakang, dengan resolusi 13MP. Manakala di hadapan, ia menggunakan kamera 5MP yang terletak di dalam takuk di atas skrin.
Redmi 9C
Sedikit mahal dari Redmi 9A tetapi lebih murah Redmi 9 ini menjadikannya model pertengahan keluarganya. Redmi 9C dikuasakan pemproses Mediatek Helio G35, RAM 2GB dan storan dalaman 32GB.
Ia ada skrin seluas 6.53-inci HD+ sahaja, dengan takuk di atas untuk kamera hadapan. Kelebihannya dari Redmi 9A ialah ia ada pengimbas capjari di belakang.
Bateri yang sama besar juga ada di dalam telefon ini, berkapasiti 5,000mAh. Ia ada 3 kamera di belakang dengan kamera utama 13MP. Manakala kamera hadapannya 5MP, terletak di dalam takuk di atas skrin.
Sumber: Xiaomi