Pemain badminton lagenda Malaysia, Datuk Lee Chong Wei dilihat sangat bergembira dengan hadiah yang diterimanya. Perkara ini dikongsi beliau menerusi Facebooknya, di mana beliau memuat naik gambar model eksklusif Lamborghini tersebut.
Dari cerita ini, Lee Chong Wei mungkin adalah orang yang pertama di Malaysia memiliki telefon pintar Oppo Find X2 Pro Edisi Lamborghini ini. Ia adalah model kedua telefon pintar yang dihasilkan Oppo, dengan kerjasama pengeluar kereta terkemuka, Lamborghini.
Oppo Find X2 Pro Edisi Lamborghini telah diumumkan ketibaannya di China pada bulan Mac lepas, dengan harga jualan RMB12,999 (~RM7,919). Ia juga baru sahaja dilancarkan di India. Rekaan kali ini diinspirasikan dari model kereta Lamborghini Aventador SVJ Roadster.
Keunikan telefon ini boleh dilihat dari rupa luarannya, yang menggunakan kemasan karbon-fiber di belakang, serta modul kamera heksagon dengan sentuhan warna gangsa. Bahagian belakang telefon ini menggunakan kaca 3D dengan bentuk seakan rupa sebuah “Supercar”.
Selain itu, jeriji speaker telefon ini turut menerima sentuhan Lamborghini, dengan rekaan yang serupa seperti bumper belakang kereta tersebut. Paling penting, terdapat logo “Automobili Lamborghini” di belakang yang menonjolkan gambar lembu jantan garang, tanda jenama Lamborghini.
Oppo juga menambah tema antaramuka Supercar Lamborghini, berasaskan ColorOS 7.1 yang dibina daripada Android 10. Ia menampilkan latar hitam bersama warna kuning dan gangsa, menonjolkan rasa premium dan berteknologi tinggi.
Secara kasar, spesfikasi yang ada pada Edisi Lamborghini ini adalah sama dengan Oppo Find X2 Pro yang biasa. Ia memiliki skrin OLED 6.7-inci dengan resolusi Quad HD+, serta refresh rate 120Hz.
Di dalam, ia dikuasakan oleh cip Snapdragon 865 5G, bersama RAM LPDDR5 sebesar 12GB dan storan UFS3.0 seluas 512GB. Ia turut menyokong dwi-mod 5G, SA dan NSA. Bateri di dalamnya sebesar 4,260mAh dan ia menyokong pengecasan pantas 65W melalui USB-C.
Untuk kamera, ia ada 3 kamera di belakang gabungan kamera utama 48MP IMX689, kamera ultra lebar 48MP IMX586 dan kamera telefoto periskop 13MP, yang mampu mengezum sehingga 60x. Di depan, ia dipasang kamera 32MP yang terletak di dalam lubang di atas skrin.
Pembeli telefon ini turut menerima aksesori eksklusif di dalam kotak, antaranya casing kulit, fon kepala wayarles, dan pengecas kereta SuperVOOC 2.0.
Sumber: Facebook