Asus telah melancarkan telefon pintar gaming generasi ketiga mereka, ROG Phone 3 dalam satu majlis pelancaran dalam talian. Ia merupakan telefon pintar berkuasa tinggi dengan banyak naik taraf perkakas dalamannya, tanpa perubahan yang ketara di luar.
Secara ringkas, tiada pembaharuan dipasang pada ROG Phone 3 jika dibandingkan dengan ROG Phone 2. Malah, rupa luarnya juga seperti tiada perbezaan.
Kuasa ROG Phone 3 kali ini digerakkan oleh cip overclock dari Qualcomm, iaitu Snapdragon 865+ dengan kelajuan sehingga 3.1GHz. Ia kini menyokong rangkaian 5G dwi-mod, SA dan NSA. Kuasa ini digandingkan bersama RAM LPDDR5 sehingga 16GB, serta storan UFS 3.1 sehingga 512GB.
Dengan kuasa yang tinggi datang juga haba yang tinggi. Untuk ini Asus menggunakan sistem penyejuk lebih cekap seperti heat sink lebih besar, ruangan pengeluaran haba di belakang, vapor chamber yang direka semula serta filem graphite yang lebih besar. Ia juga menerima sistem penyejukan aktif melalui aksesori tambahan AeroActive Cooler 3, datang bersama di dalam kotak.
Skrin ROG Phone 3 masih menggunakan paparan AMOLED berukuran 6.59-inci, kini dipertingkat dengan refresh rate setinggi 144Hz, touch sampling rate 270Hz dan touch latency 25ms. Perkara ini penting untuk memberikan paparan yang lancar, di samping sentuhan di atas skrin yang tepat dan tiada lengah. Satu keperluan utama untuk bermain game di telefon pintar.
Sebagai telefon pintar gaming, fokus semasa bermain game adalah penting. Pengguna boleh mengaktifkan X-Mode menerusi menu tetapan pantas. X-Mode membenarkan pelbagai tetapan dibuat agar pengguna boleh lebih fokus bermain game. Antaranya meningkatkan prestasi, mengehadkan penggunaan data, menyekat notifikasi dan panggilan masuk, serta pelbagai lagi.
Asus mengekalkan kapasiti bateri super besar di ROG Phone 3, sebesar 6,000mAh. Pengecasan pantasnya juga masih sama, 30W melalui USB-C PD. Terdapat dua port USB-C iaitu di bawah dan di sisi kiri telefon.
Sistem bunyi stereo juga masih ada di ROG Phone 3. Ia mengeluarkan bunyi melalui sepasang pembesar suara di atas dan bawah skrin, yang menghadap ke muka pengguna. Antara naik tarafnya ialah speaker lebih besar, magnet lebih banyak, bunyi lebih kuat dan ketepatan bunyi lebih jitu.
Antara fungsi premium pada telefon gaming ialah butang bahu. ROG Phone 3 masih menggunakan sensor ultrasonik di sebelah kanan telefon dengan nama baru, AirTrigger 3. Ia kini boleh digunakan bukan sahaja sebagai 2 butang tambahan, tetapi dengan arahan lebih meluas. Ia boleh digunakan untuk ditekan 4 butang (L1+L2, R1+R2), disapu, digoyang atau ditekan berkali-kali yang memberikan arahan berbeza.
Bagi melengkapkan pakej telefon gaming di ROG Phone 3 adalah pencahayaan Aura RGB di belakang. Logo ROG boleh menampilkan pelbagai warna cahaya dengan efek kerlipan boleh diubahsuai.
Walaupun kamera bukan perkara penting di telefon gaming, Asus memasang kamera berprestasi tinggi di ROG Phone 3. Di belakang, ia kini ada 3 kamera iaitu kamera utama 64MP F1.8 IMX686, kamera ultra lebar 13MP dan kamera makro 5MP. Tiada kamera telefoto padanya. Bagi kamera hadapan pula ia dipasang sensor 24MP.
Lain-lain perkara yang turut ada pada ROG Phone 3 adalah sokongan WiFi 6 802.11ax 2×2 MIMO, Bluetooth 5.1 serta NFC. Terdapat dua slot kad SIM nano, menyokong salah satu 5G atau kedua-dua 4G. Tiada kad mikroSD diterima dan ia juga tiada jek audio 3.5mm. Selain itu, telefon ini tiada pengecasan wayarles dan tidak kalis air.
Bagi meningkatkan lagi pengalaman bermain game, ROG Phone 3 turut boleh ditambah pelbagai aksesori seperti ROG Kunai 3 Gamepad, ROG Lighting Armor Case, ROG Clip, TwinView Dock 3 dan Mobile Desktop Dock.
Tarikh dan Harga di Malaysia
Untuk tarikh jualan dan harganya, Asus Malaysia menyatakan telefon ini akan dilancarkan di Malaysia pada pertengahan bulan September 2020. Harganya pula dikatakan akan menghampiri varian ROG Phone 2 tahun lepas. Bunyinya macam akan naik sikit. Untuk perbandingan, harga ROG Phone 2 ketika dilancarkan tahun lepas adalah seperti berikut:
- ROG Phone 2 Strix (SD855, 8GB+128GB) – RM 2,499
- ROG Phone 2 (SD855+, 12GB+512GB) – RM 3,499
- ROG Phone 2 (SD855+, 12GB+1TB) – RM 4,499
Manakala varian yang akan dilancarkan di Malaysia kelak adalah seperti berikut:
- ROG Phone 3 Strix (SD865, 8GB+256GB)
- ROG Phone 3 (SD865+, 12GB+512GB)
- ROG Phone 3 (SD865+, 16GB+512GB)
Tiada storan 1TB untuk ROG Phone 3 kali ini, tetapi ia ada ditawarkan dengan RAM lebih besar.
Adakah anda berminat mendapatkan ROG Phone 3 dengan harga anggaran hampir sama dengan ROG Phone 2? Jika Asus boleh mengekalkan harga yang sama untuk model Strix, ia boleh memberi saingan ketat kepada Poco F2 Pro yang tidak banyak ada fungsi gaming padanya.