Telefon pintar dengan kuasa Snapdragon 865 5G termurah di Malaysia, kini diturunkan harga. Poco Malaysia hari ini memaklumkan, varian RAM 8GB dan storan 256GB untuk Poco F2 Pro diturunkan harga sebanyak RM300, bermula 4 April 2020.
Dengan penurunan harga ini, ia menjadikan harga Poco F2 Pro (8+256) kepada RM2,299, berbanding RM2,599 sejak dilancarkan bulan Mei lepas. Harga ini juga berbeza hanya RM100 dari varian RAM 6GB dan storan 128GB.
Dari pengumuman di Facebook Poco Malaysia ini, ia tidak menyebut tentang harga baru untuk Poco F2 Pro (6+128GB). Bermakna, ia masih kekal dengan harga RM2,199.
Tinjauan ke Stor Rasmi Xiaomi di Lazada juga menunjukkan harga baru untuk varian 8+256 sahaja. Manakala varian 6+128 masih kekal sama dengan harga lama.
Buat yang belum mengenali Poco F2 Pro, telefon ini dikuasakan cip Snapdragon 865 5G, bersama RAM LPDDR5 dan storan UFS3.1 terpantas. Skrinnya berukuran 6.67-inci AMOLED FHD+, tanpa takuk dan lubang kerana menggunakan modul pop-up untuk kamera hadapan.
Bateri di dalamnya berkapasiti 4,700mAh dan menyokong pengecasan pantas 30W melalui USB-C. Di samping sokongan rangkaian 5G, ia turut dilengkapi WiFi 6 dan Super Bluetooth.
Di belakang, kamera utamanya menggunakan sensor Sony IMX686 64MP dengan saiz sensor besar berukuran 1/1.7-inci. Kamera kedua pula ialah kamera ultra lebar 13MP, diikuti kamera pengesan kedalaman 2MP dan kamera telemakro 5MP dengan autofokus. Kamera hadapannya pula 20MP di dalam modul pop-up yang boleh disembunyikan.
Poco F2 Pro datang dalam empat pilihan warna iaitu biru, putih, ungu dan kelabu.
Sumber: Poco Malaysia