Barisan Galaxy Note adalah produk ikonik Samsung. Sedang pengeluar lain menjadikan iPhone sebagai rujukan untuk bangunkan telefon, Samsung hasilkan sesuatu yang diluar norma. Kini Galaxy Note sudah memasuki iterasi yang ke-11 melalui siri Galaxy Note20.
Di Malaysia, kita akan dapat tiga jenis Samsung Galaxy Note20. Yang pertama ialah Galaxy Note20 Ultra yang ada RAM 12GB dan storan 256GB. Kemudian, kita dapat 2 Galaxy Note20, masing-masing ada RAM 8GB dan storan 256GB, bezanya adalah satu sokong 5G dan satu lagi 4G.
Sehari sebelum acara Unpacked berlangsung, kami dijemput oleh Samsung Malaysia untuk hadiri acara tertutup berkaitan Galaxy Note20 dan beberap produk lain yang bakal mereka lancarkan.
Di sana, kami berpeluang untuk melihat dan menyentuh sendiri siri Galaxy Note20 dalam waktu terhad. Ini adalah pengalaman hands-on kami terhadap Samsung Galaxy Note20 Ultra
Samsung Galaxy Note20 Ultra
Daripada segi fizikaliti, Galaxy Note20 Ultra dan Note10+ tak jauh sangat bezanya. Beza antara mereka adalah pada warna kemasan belakangnya. tiada lagi warna “Aura” yang berkilat sebaliknya digantikan dengan “Mystic” iaitu kemasan matte.
Galaxy Note20 Ultra ada paparan sebesar 6.9”. Ia masih gunakan paparan Infinity-O tapi sedikit besar dan panel lebih baik berbanding Galaxy Note10+. Sudahlah telefon Note yang terbesar setakat ini, ia menggayakan panel Dynamic AMOLED 2X (120Hz) pada resolusi QHD+.
Tapi masalahnya, ia bukanlah malar pada 120Hz tapi adaptive. Maknanya, sistem akan selaraskan refresh rate mengikut kesesuaian. Contohnya kalau main game, panel paparan akan dipacu ke 120Hz manakala dikala bateri semakin semput, ia akan turunkannya kepada 60Hz untuk penjimatan tenaga. Selain pilihan adaptive, anda boleh tetapkan ia berjalan pada 60Hz sepanjang masa.
Masih di bahagian luar telefon, kedudukan butang bunyi, kuasa, dan S Pen telah bertukar. Kali pertama dalam sejarah Galaxy Note, slot S Pen terletak di bahagian kiri. Apa rasionalnya perkara ini tidaklah diketahui tetapi ini adalah berita baik buat pengguna kidal.
Komponen ikonik siri Galaxy Note, S Pen pun terima naik taraf. Dekat Galaxy Note10 dulu ada fungsi Air Gesture. Kebanyakannya digunakan untuk kawal kamera seperti zum in, zum out, ambil gambar dan beberapa kegunaan luar lain macam skrol kebawah dan keatas.
Tapi untuk Galaxy Note20 kali ini, lebih banyak arahan Air Gesture disertakan. Kini Anda boleh berikan arahan back, forward, ambil tangkap layar, dan beberapa arahan lain lagi.
Samsung juga maklumkan yang jeda masa (latency) S Pen telah menurun kepada 9ms. Manfaatnya adalah apabila menulis atas paparan, “dakwat digital” mengalir seperti menulis atas kertas yang sebenar.
Tapi perkara ini bukanlah tambah baik hardware S Pen pada pendapat saya. Sebaliknya sebahagian besarnya disumbang oleh penggunaan panel paparan ber-refresh rate tinggi.
Cakap pasal hardware, Galaxy Note20 Ultra diperkasa Exynos 990 5G, sama seperti Galaxy S20 Ultra. Bersama-sama SoC tersebut, ia ada RAM 12GB dan storan 256GB. Itu adalah satu-satunya konfigurasi yang diterima pasaran Malaysia.
Saya tak sempat menggeledah bahagian software telefon ini atas sebab sesi hands-on yang sangat terhad. Tapi berdasarkan pengalaman ringkas saya, ia sama saja dengan Galaxy Note10+. Anda dapat Android 10 dengan OneUI 2.1.
Kemudian, Samsung kata yang fungsi Dex pun dah ditambah baik. Kini anda boleh gunakan Dex secara wayarles dan lebih baik, bukan jenis screen mirror sebaliknya lebih kepada mode extended screen.
Berpindah ke jabatan pengimejan, nak kata ada naik taraf pun tak, turun taraf pun tidak. Seperti Galaxy S20 Ultra, tiada teknologi Dual Pixel Autofocus tersemat pada mana-mana kameranya. Jadi, anda boleh jangkakan masalah membidik fokus yang sama pada Galaxy Note20 Ultra.
Telefon ini ada kamera utama 108MP, kemudian dia miliki dua kamera 12MP, satu untuk ultralebar, satu lagi ialah kamera Space Zoom untuk mengezum sehingga.
Peliknya, kamera 3D ToF tidak diwarisi daripada Galaxy Note10+, sebaliknya digantikan dengan komponen autofocus menggunakan laser. Maka, di bahagian belakang ada tiga kamera semuanya sebab komponen lazer bukanlah sensor kamera.
Kalau anda nak tahu, seingat sayalah, tiada satupun telefon tahun 2020 ada komponen ini walaupun ia berstatus flagship. Perkara ini juga saya kurang mengerti apakah rasionalnya pembidik fokus laser digunakan. Ia adalah teknologi lama yang digunakan LG G3 dalam tahun 2014.
Bahagian depan ada kamera selfie 10MP.
Akhir sekali saya nak cakap pasal bateri. Galaxy Note20 Ultra ada bateri berkapasiti 4,500mAh. Ia hampir 5% lebih besar berbanding Galaxy Note10+.
Ada satu perkara yang meragukan di sesi hands-on. Wakil Samsung memaklumkan kepada saya yang telefon ini cuma menyokong pengecasan pantas 25W. Kalau nak dibandingkan generasi dulu, 25W adalah blok pengecas yang dibekalkan dalam kotak, tapi ia menyokong pengecasan sehingga 45W, cumanya perlu beli pengecas berasingan. Harapnya wakil itu terkilaf.
Kemudian, ia menyokong pengecasan wayarles berpiawaian Qi pada kadar 15W dan pengecasan PowerShare pada kadar 9W.
Samsung Galaxy Note20
Agak menyedihkan apabila pegang Galaxy Note20. Saya rasakan yang sepatutnya ini adalah Note20 Lite kerana kualiti binaannya bagai langit dengan bumi jika dibandingkan dengan versi Ultra.
Satu lagi sebab saya katakan yang ini sepatutnya Galaxy Note20 Lite adalah rupanya sama seperti Note10 Lite.
Bahagian depan telefon ini ada paparan sebesar 6.7”. Saiz paparan ini sama macam Note10 Lite tapi sedikit besar berbanding Note10 yang lama. Dia guna panel Super AMOLED dengan resolusi FHD+ yang tidak miliki refresh rate 120Hz macam Note20 Ultra.
Lagi yang sama macam Note10 Lite adalah baterinya 4,500mAh. Ia boleh dicas pantas gunakan blok 25W dan ada pengecasan wayarles 15W serta Wireless PowerShare 9W.
Tak terhenti di situ. Bahagian belakangnya plastik yang Samsung gelarnya sebagai Glasstic. Dekat Note10 yang lalu dia guna belakang kaca.
Apakah yang baru?
Mujurlah Samsung kenakan cip Exynos 990 untuk kedua-dua model yang menyokong 5G dan 4G.
Di bahagian kamera ada perubahan khusunya untuk gambar telefoto. Ia kini ada kamera Space Zoom 30X menggunakan sensor 64MP. Kamera lain adalah sama bilangan piksel berbanding Galaxy Note10 iaitu 12MP, kemudian 12MP ultra lebar dan 10MP selfie.Yang tak dapat saya pastikan adalah jenis sensor yang digunakan telefon ini, begitu juga dengan jenis sensor pada Galaxy Note20 Ultra.
Kesimpulan
Yang saya nampak untuk siri Galaxy Note20 ini adalah sedikit cacamerba. Dekat Galaxy Note20 Ultra, dia dapat semua komponen premium tapi Galaxy Note20 biasa, tampak macam versi Lite.
Namun begitu, di bahagian kritikal, memang ada penambahbaikkan boleh anda lihat. Contohnya adalah:
- SoC lebih berkuasa
- Sokongan 5G
- Aplikasi Samsung Notes yang nyata lebih baik
- Latensi S Pen pada 9ms
- Bateri besar
- Dex secara wayarles
- Sensor ultrawide band
Cuma isu yang saya sebutkan di bahagian kamera tentu sekali jadi peluru pengguna untuk membahan telefon ini.
Galaxy Note20-lah paling sedih. Spesifikasi macam Galaxy Note10 Lite saja kecuali SoC yang lebih berkuasa. Tak tahulah nanti kalau ada Galaxy Note20 Lite, apakah akan jadi pada spesifikasinya.
Maklumat yang masih tiada sewaktu artikel ini ditulis adalah harganya. Sementara menunggu pengumuman harga, berikut adalah harga siri Galaxy Note10 yang boleh anda dapati di Malaysia.
- Note10 Lite (8GB+128GB) – RM2,299.
- Note10 (8GB+256GB) – RM3,699
- Note10+ (8GB+256GB/8GB+512GB) – RM4,199/RM4,799
Jadi, anda bolehlah anggar berapakah Note20 apabila tembusi pasaran Malaysia kelak.