Huawei hari ini secara rasminya melancarkan laptop MateBook 14 di Malaysia. Ia datang dengan kuasa terbaru pemproses AMD Ryzen 4000 dalam badan yang nipis dan ringan.
Bersama pelancaran ini, Huawei turut mengumumkan tempahan awal selama 4-hari yang menyediakan hadiah percuma bernilai lebih RM1,100. Tempahan awal ini akan diadakan dari 26-29 Oktober 2020, di Stor Online Huawei, Stor Rasmi Huawei di Shopee, Senheng dan Harvey Norman.
Hadiah percuma tersebut berupa fon telinga FreeBuds 3, beg Huawei dan tetikus bluetooth. Terdapat dua varian MateBook 14 dengan harga seperti berikut:
- MateBook 14 (Ryzen 5 4600H, RAM 16GB, SSD 512GB) – RM 3,799
- MateBook 14 (Ryzen 7 4800H, RAM 16GB, SSD 512GB) – RM 4,399
Laptop berkuasa tinggi Huawei ini memiliki badan yang ringan dan nipis, diperbuat daripada aluminium. Beratnya hanya 1.49kg manakala badannya memiliki ketebalan 15.9mm sahaja. Warna badannya pula hanya terdapat dalam warna kelabu, sama seperti laptop Huawei yang lain.
Skrin MateBook 14 memiliki keluasan 14-inci, dengan resolusi 2K 2160×1440 dari jenis LCD. Papan kekuncinya berlampu dengan kamera web tersembunyi di barisan teratas kekunci. Butang kuasa pula digabungkan dengan pengimbas capjari untuk fungsi keselamatan biometrik.
Untuk sambungan berwayar, ia memiliki 2 port USB-A, 1 port USB-C, 1 port HDMI dan 1 jek audio 3.5mm. Ia mengecas melalui USB-C dan menyokong pengecasan pantas 65W. Menurut Huawei, anda boleh menggunakan laptop ini sehingga 2.5 jam dengan mengecas pantas selama seminit. Huawei membekalkan sistem operasi Windows 10 Home Edition untuk menggerakkan MateBook 14.
Ketibaan MateBook 14 untuk pasaran Malaysia, menyertai barisan laptop Huawei sedia ada iaitu MateBook D14, MateBook D15, MateBook 13 dan MateBook X Pro. Dapatkan maklumat lanjut mengenai laptop Huawei di laman produk Huawei MateBook.