Huawei akan adakan satu majlis pelancaran secara maya untuk perkenalkan flagship Mate 40 pada 22 Oktober 2020. Menjelang tarikh tersebut, ada pelbagai khabar angin bertiup berkisarkan telefon ini.
Pengeluarnya sendiri tidak ketinggalan untuk menyemarakkan lagi debaran penantian apabila berkongsikan beberapa teaser Huawei Mate 40. Berikut adalah 4 teaser rasmi yang dikongsikan Huawei.
Ultra-Wide Angle Lens Less Distortion
Di Mate 30 Pro, ia ada satu kamera ultralebar yang ada jarak fokal 18mm setara format 35mm. Masalah dengan kamera ultralebar adalah gambar akan nampak melengkung di bahagian pinggir. Perkara ini dikenali sebagai barrel distortion dan adalah fenomena fizik biasa yang ada kaitan dengan pembiasan cahaya.
Menurut video Mate 40 ini, katanya ia akan kurangkan barrel distortion. Kalau komponen optiknya sama seperti Mate 30, satu-satunya cara untuk membasmi barrel distortion adalah menggunakan pemperosesan komputer.
Always on Display
Apa yang nak dibanggakan sangat dengan fungsi Always on Display (AOD). Hampir setiap telefon yang menggunakan panel AMOLED boleh lakukannya. Tapi ini mungkin merujuk kepada kebolehan menggunakan animasi GIF untuk tetapkan imej AOD anda.
AI Gesture Control
Fungsi ini pun sudah ada pada Mate 30 Pro tempoh hari. Tapi implementasi AI Gesture di Mate 30 Pro agak lemah pada pendapat saya. Lebih mudah lakukan sentuhan terus ke paparan kecualilah jari anda tersangatlah kotor hinggakan paparan tak boleh bertindak balas terhadap input anda.
Selain implimentasi yang lebih baik, saya jangkakan lebih banyak gesture dimasukkan untuk anda kawal Mate 40 kelak.
GPU
Siri Mate 40 dilaporkan diperkasa SoC Kirin 9000. Khabar angin menyatakan yang ia adalah cip 5nm pertama daripada Huawei. Jika benar, ini adalah cip 5nm kedua selepas A14 Bionic pada iPhone 12.
Lagi dari khabar angin, ia dikatakan ada 24 teras GPU yang berikan skor OpenCL tinggi, jauh meninggalkan SoC flagship sedia ada seperti Snapdragon 865 dan Exynos 990.