Selepas iPhone 12 dilancarkan, model lama iPhone telah dipotong harga jualannya dan salah satu darinya ialah iPhone XR. Apple membuang sehingga RM500 dari harga iPhone XR sebelum ini, tetapi kini ada penjual menambah potongan harga tersebut menjadi lebih murah.
Dua pengedar sah Apple di Malaysia, Machines dan Switch kini menawarkan iPhone XR 64GB pada harga RM2,199, berbanding harga rasminya RM2,399. Tetapi ia terdapat dalam warna hitam sahaja.
Seperkara lagi, iPhone XR ini disenaraikan sebagai stok baru, yang tidak memiliki kepala pengecas dan EarPods di dalam kotak. Untuk menjaga kesejahteraan alam sekitar, kata Apple. Sebaliknya hanya ada telefon dan kabel USB-C ke Lightning sahaja di dalamnya.
Jika mahu membeli kepala pengecas, Apple ada menjualnya secara berasingan pada harga RM99 untuk kepala pengecas Apple USB-C 20W. Selain itu, anda juga boleh membeli mana-mana kepala pengecas USB-PD pihak ketiga pada harga lebih rendah.
iPhone XR adalah telefon pintar yang dikuasakan cip Apple A12 Bionic, bersama skrin Liquid Retina HD 6.1-inci. Ia hanya ada satu kamera belakang 12MP dan satu kamera hadapan 7MP.
Telefon ini memiliki bateri 2,942mAh dan menyokong pengecasan pantas 18W. Selain itu, ia juga menyokong pengecasan wayarles dan kalis air IP67.
Pada harga RM2,199, anda juga boleh mendapatkan iPhone SE 2020 128GB. Ia serba-serbi kekurangan seperti skrin kecil 4.7-inci, bateri kecil 1,821mAh, tetapi ada cip lebih berkuasa, Apple A13 Bionic. Ia juga menggunakan pengimbas capjari Touch ID, cara lebih mudah membuka kunci skrin semasa memakai pelitup muka.
Dengan bajet RM2,199, adakah anda akan membeli iPhone XR 64GB atau iPhone SE 2020 128GB?
Sumber: SoyaCincau