Jumlah hari semenjak PKP dilaksanakan

HARI

PKP bermula pada: 18 Mac, 2020

PKPP dijangka tamat dalam

HARI

PKPP dijangka ditamatkan pada 31 Dec, 2020

Ikuti liputan COVID‑19 kami di sini

Semua iPhone tiada lagi pengecas dan EarPods, ini harga ia dijual di Malaysia

Pelancaran siri iPhone 12 dan iPhone 12 Pro pagi ini mengesahkan satu perkara yang menjadi perbualan hangat sekian lama, ketiadaan pengecas dan fon telinga EarPods di dalam kotak. Perkara ini tidak terhad kepada siri iPhone 12 sahaja, tetapi Apple melaksanakannya di semua penghasilan stok baru iPhone 11, iPhone XR dan iPhone SE 2020.

Kini, pembeli telefon pintar iPhone hanya menerima telefon pintar dan kabel USB-C ke Lightning sahaja di dalam kotak. Apple meminta pengguna untuk mengguna semula pengecas lama mereka bagi menyelamatkan alam sekitar.

Menurut Apple, mereka tidak lagi memberi pengecas dan EarPods kerana ia sering tidak digunakan, berbanding kabel pengecas. Ini membolehkan kotak iPhone menjadi lebih kecil, menjadikannya lebih mudah dihantar dengan kos lebih rendah. Selain itu, langkah ini akan menghentikan lebih 2 tan metrik karbon dari dilepaskan ke udara setiap tahun, mengurangkan pencemaran udara.

Jika anda pembeli iPhone pertama kali atau tiada kepala pengecas USB-C, maka anda haruslah membelinya berasingan.

Kiri harga baru, Kanan harga lama

Apple sendiri menjual kepala pengecas USB-C 20W pada harga RM99. Ia menyokong pengecasan pantas yang terdapat di semua peranti iPhone masakini. Harga pengecas ini juga lebih murah berbanding pengecas lama USB-C 18W, yang sebelum ini dijual pada harga RM149.

Sebelum ini, Apple hanya memberikan kepala pengecas USB-A 5W di dalam kotak, termasuk di iPhone X dan XS. Di iPhone 11 Pro, Apple memperkenal pengecas USB-C 18W di dalam kotak telefon. Pengecasan pantas di iPhone hanya disokong melalui USB-C sahaja, tiada di USB-A.

Untuk fon telinga EarPods dengan sambungan Lightning pula, jika anda ingin memilikinya, ia dijual pada harga RM99. Harga ini juga telah turun, lebih murah RM30 berbanding harga lama. Apple turut menjual EarPods dengan sambungan 3.5mm pada harga yang sama, RM99. Jika anda mahu menggunakan fon kepala berwayar sendiri, adaptor Lightning ke 3.5mm dijual Apple pada harga RM55.

BACA  Apple umum pelancaran iPhone 12 pada 13 Oktober 2020

Tetapi jika anda lebih berminat dengan fon kepala wayarles, Apple turut menjual AirPods pada harga dari RM699 sehingga RM1,099.

Kalau anda mencari pilihan lain yang lebih murah, anda boleh membeli mana-mana pengecas USB-C PD pihak ketiga dan salah satu pilihan yang ada ialah pengecas UGreen 18W USB-C PD, berharga RM23.19 sahaja. Untuk mengecas lebih banyak peranti, anda juga boleh mendapatkan pengecas berbilang port dengan kuasa tinggi.

Sudah pasti, cara paling jimat seperti yang dinasihatkan Apple ialah menggunakan pengecas lama iPhone anda. Ia memiliki kuasa mengecas 5W bersama kabel USB-A ke Lightning. Masa mengecas pastinya lebih lama tetapi ia lebih jimat.